Jangan jadikan Parlimen medan sarkas!

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR -Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) menzahirkan rasa kesal terhadap sikap tidak beradab segelintir Ahli Parlimen yang semakin jauh daripada nilai keilmuan dan kesopanan dalam sidang Dewan Rakyat kebelakangan ini.

Pengerusinya, Dato’ Mustafa Idrus, berkata Parlimen seharusnya menjadi medan berhujah secara ilmiah dan berpaksikan fakta, bukannya tempat untuk jeritan, ejekan dan sindiran yang merendahkan martabat institusi tertinggi negara itu.

“Perangai segelintir wakil rakyat menjadikan Parlimen seperti zoo negara dan sarkas. Mereka lupa bahawa rakyat menghantar mereka ke sana untuk membawa suara dan solusi, bukan membuat bising,” tegas beliau.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan kredibiliti Dewan Rakyat, malah turut menconteng arang ke muka institusi politik negara yang sepatutnya menjadi contoh kepada generasi muda.

Dato’ Mustafa menyeru supaya semua Ahli Parlimen kembali kepada budaya berhujah dengan fakta, adab dan nilai intelektual, selaras dengan semangat ilmu dan hikmah yang menjadi asas kepada tamadun Melayu-Islam.

“Ahli Parlimen harus membawa semangat keilmuan, bukan emosi. Kalau terus begini, rakyat akan hilang hormat kepada Parlimen yang dulunya menjadi medan kearifan dan kebijaksanaan,” tambahnya.

PAMM juga mendesak supaya Peraturan Mesyuarat Parlimen dikuatkuasakan dengan lebih tegas terhadap mana-mana ahli yang gagal menunjukkan disiplin dan adab dalam sesi perbahasan.

Beliau turut menegaskan, dalam suasana dunia yang semakin mencabar, perbahasan di Parlimen perlu berasaskan data dan dasar pembangunan negara, bukannya pertikaian politik yang bersifat peribadi dan tidak produktif.

“Parlimen bukan sarkas politik. Ia dewan rakyat yang harus disuburkan dengan hujah bernas dan pemikiran matang,” katanya.

PAMM percaya, hanya dengan mengembalikan budaya ilmu dan fakta di Parlimen, rakyat akan kembali menghormati institusi tersebut sebagai pusat kecerdikan dan kebijaksanaan nasional.

Dato’ Mustafa turut mengingatkan rakyat agar menilai prestasi wakil mereka dengan matang, dan menolak ahli politik yang hanya tahu mencetus kekecohan tanpa membawa nilai ilmu serta tanggungjawab.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.