Jadikan Ramadan medan kesatuan umat

Dato' Dr Mustaffa menyampaikan sumbangan kepada asnaf

ALOR SETAR – Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus menyeru umat Islam memanfaatkan bulan Ramadan sebagai medan mempereratkan silaturrahim dan mengukuhkan kesatuan sesama Melayu demi memastikan kekuatan dan keutuhan ummah terus terpelihara.

Beliau berkata, Ramadan bukan cuma bulan ibadah, bahkan merupakan bulan tarbiah yang mendidik jiwa supaya kembali kepada fitrah persaudaraan, saling menghormati dan bekerjasama dalam segala urusan kehidupan.

Menurutnya, dalam suasana dunia yang semakin mencabar, perpaduan adalah asas kekuatan.

” Tanpa kesatuan, masyarakat Melayu akan mudah goyah dan hilang arah. Justeru, Ramadan perlu dimanfaatkan untuk merapatkan saf serta membuang segala perselisihan.

“Ramadan adalah medan untuk kita menyatukan hati. Jika hati umat Islam bersatu, insya-Allah Melayu akan tetap kuat dan utuh. Kekuatan ini penting bukan sahaja untuk bangsa, tetapi demi kestabilan negara,” katanya kepada media hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semangat perpaduan yang dipupuk sepanjang Ramadan perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian supaya Malaysia terus maju dalam suasana aman dan damai.

Tambah beliau, keamanan dan kemajuan negara tidak akan tercapai tanpa rakyat yang bersatu serta saling mempercayai antara satu sama lain.

Katanya, nilai hormat, tolak ansur dan kasih sayang hendaklah menjadi amalan berterusan.

Menyantuni sesama muslim amat dianjurkan dalam bulan Ramadan

“Selain itu, umat Islam juga perlu memperbanyakkan amalan bersedekah sepanjang bulan Ramadan, khususnya membantu fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan.

“Dalam Ramadan ini, kita kena sentiasa bersedekah, memberi makan kepada fakir miskin dan membantu mereka yang susah. Setiap kebaikan yang kita lakukan pasti diganjari pahala berlipat kali ganda,” katanya.

Beliau berkata, amalan berkongsi rezeki bukan sahaja meringankan beban penerima, malah menyucikan harta dan mendidik jiwa supaya lebih bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT.

Menurutnya lagi, budaya memberi makan orang berbuka puasa, menyantuni jiran tetangga serta menghulurkan sumbangan kepada yang memerlukan wajar dijadikan tradisi berterusan walaupun selepas Ramadan berakhir.

Beliau turut mengajak generasi muda agar mengambil peluang Ramadan untuk mendekatkan diri kepada al-Quran, memperbanyakkan solat berjemaah serta mengimarahkan masjid dan surau.

“PAMM berharap Ramadan kali ini menjadi titik perubahan ke arah masyarakat yang lebih bersatu, penyayang dan berintegriti, seterusnya membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih gemilang, aman dan diberkati,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.