Posted byrentas7
February 10, 2026
February 10, 2026
Dato' Dr Mustaffa menuntut para waris memberi kerjasama penuh kepada pihak sekolah
SUNGAI PETANI – Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus telah dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar bagi sesi 2026/2027.
Pelantikan tersebut dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung PIBG sekolah berkenaan yang berlangsung pada 8 Februari lalu, dengan kehadiran lebih 300 orang ibu bapa dan penjaga.
Dato’ Dr Mustaffa merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan, sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai satu amanah besar demi kebajikan serta masa depan para pelajar.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah sekolah tidak boleh dipikul oleh pihak pentadbiran dan guru semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif ibu bapa serta sokongan berterusan komuniti setempat.
Beliau mengajak semua waris agar mendekatkan diri dengan sekolah dan menjadikan institusi pendidikan itu sebagai rumah kedua kepada anak-anak. “Rumahku syurgaku, sekolahku rumahku perlu menjadi pegangan bersama,” katanya.
Dato’ Dr Mustaffa dilantik sebagai YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar bagi sesi 2026/2027.
Tambah beliau, suasana sekolah perlu dibentuk agar lebih ceria, mesra dan berwarna-warni supaya murid hadir ke sekolah dengan perasaan gembira, selesa dan bersemangat untuk belajar.
Beliau turut menegaskan bahawa unsur buli dalam apa jua bentuk perlu dihapuskan sepenuhnya agar sekolah sentiasa menjadi tempat yang selamat dari segi fizikal, emosi dan mental kepada semua pelajar.
“Anak-anak hanya boleh berkembang dengan baik apabila mereka berasa dilindungi dan tidak takut.
” Budaya saling menghormati dan kasih sayang perlu disemai sejak awal,” jelasnya.
Dato’ Dr Mustaffa sedang berucap dalam majlis berkenaan
Dalam pada itu, Dato’ Dr Mustaffa mengingatkan bahawa pembentukan disiplin tidak bermula di sekolah semata-mata, sebaliknya perlu diterapkan dari rumah oleh ibu bapa sebagai asas pendidikan.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dengan memperkukuhkan disiplin secara berhemah dan konsisten demi membentuk sahsiah pelajar yang seimbang.
Beliau turut menekankan kepentingan penerapan nilai-nilai agama dalam kehidupan seharian pelajar supaya hati anak-anak lebih lembut, mudah menerima nasihat serta mampu membezakan antara yang baik dan buruk.
“Apabila agama menjadi asas, kasih sayang akan lahir, disiplin dapat dibentuk dan nasihat mudah meresap ke dalam jiwa anak-anak,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen PIBG untuk berfungsi sebagai jambatan yang menyatukan suara ibu bapa dan pihak sekolah, sekali gus menyokong segala usaha ke arah pembentukan generasi pelajar yang berilmu, berakhlak dan beriman.
Pelantikan Dato’ Dr Mustaffa sebagai YDP PIBG SMK Sungai Layar diharap dapat memperkukuh kerjasama semua pihak dalam menjadikan sekolah tersebut medan terbaik membentuk generasi masa depan yang cemerlang dunia dan akhirat.
Leave a Reply