Cikgu Chandra Persoal Tindakan Pilih Kasih Pihak Berkuasa Selepas Jadi Mangsa Dipukul Beramai-Ramai

KULIM -Seorang aktivis dikenali sebagai Cikgu Chandra mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang bersikap pilih kasih apabila hanya beliau didakwa, sedangkan individu yang memukulnya dalam kejadian di pondok kempen Pakatan Harapan (PH) di Padang Serai masih bebas.

Menurut Chandra, kejadian yang berlaku pada tahun 2022 itu hanya diberi perhatian selepas beliau sendiri menularkan isu berkenaan di media sosial.

“Saya terpaksa viralkan perkara ini kerana IPD Kulim, termasuk seorang pegawai dikenali sebagai Inspektor Syafiq, tidak mengambil tindakan hampir empat tahun.

“Namun selepas isu ini tular, barulah saya dipanggil ke mahkamah dan dimaklumkan bahawa saya juga akan didakwa,” katanya dalam satu sidang media di hadapan Kompleks Mahkamah Kulim, hari ini.

Chandra dihadapkan ke Mahkamah Majistret II Kulim dengan ditemani dua peguam daripada Gerakan Rumah Anutan Haram (GARAH).

Dalam prosiding tersebut, beliau sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) telah dituduh melakukan rusuhan bersama dua individu lain yang masih bebas, di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Beliau menyifatkan pertuduhan itu sebagai pelik kerana dirinya turut disabit terlibat dalam rusuhan, sedangkan beliau yang ketika itu merupakan penyokong kuat PH mendakwa dirinya adalah mangsa yang dipukul beramai-ramai semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Lebih menghairankan apabila dua lagi individu yang didakwa terlibat masih belum ditahan sehingga kini,” ujarnya.

Tambah beliau, kebanyakan individu yang berada di pondok kempen ketika kejadian adalah petugas parti PKR.

Mahkamah kemudian membenarkan Chandra diikat jamin sebanyak RM3,000, lebih rendah daripada permohonan awal Timbalan Pendakwa Raya sebanyak RM7,000.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam daripada GARAH, serta pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Malaysian Bodyguard yang membantu menguruskan kehadirannya di mahkamah.

Laporan polis berkaitan kes tersebut telah dibuat Chandra sejak 3 Disember 2022.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini suspek yang didakwa memukulnya tidak dipanggil untuk kawad cam, selain identiti suspek yang masih belum didedahkan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.