Jangan jadikan Malaysia Hub Pelarian, PAMM desak kerajaan bertegas

Dato' Dr Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR– Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas dalam mengawal kemasukan warga Rohingya ke negara ini bagi mengelakkan Malaysia terus menjadi laluan mudah kepada kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus berkata, isu kemasukan warga asing tanpa kawalan sewajarnya tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan negara, kedaulatan sempadan serta kepentingan rakyat tempatan.

Menurut beliau, tindakan kerajaan yang dilihat terlalu mudah membenarkan kemasukan warga Rohingya tanpa kawalan dan penguatkuasaan yang berkesan boleh memberikan gambaran seolah-olah negara mengambil mudah terhadap kegiatan sindiket yang membawa mereka masuk.

Beliau berkata, keadaan tersebut juga boleh menjadi isyarat yang tidak baik kepada rangkaian penyeludupan manusia bahawa Malaysia merupakan destinasi yang mudah ditembusi, sekali gus membuka ruang kepada sindiket untuk terus mengambil kesempatan.

“Malaysia tidak sepatutnya dikenali sebagai hab pemerdagangan manusia. Kita mempunyai undang-undang, agensi keselamatan dan kemampuan untuk mengawal sempadan. Persoalannya ialah sejauh mana ketegasan dan kesungguhan penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, PAMM Kedah menggesa kerajaan memperkukuh kawalan di semua pintu masuk negara, khususnya kawasan perairan yang sering menjadi laluan pendaratan bot membawa pendatang tanpa izin.

Dalam masa sama, kerajaan perlu meningkatkan tindakan membanteras sindiket penyeludupan manusia sehingga ke akar umbi, termasuk mengenal pasti dalang, pembiaya dan pihak yang bersubahat dalam kegiatan berkenaan.

PAMM turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penempatan warga Rohingya yang dibawa masuk ke negara ini di sebuah pulau atau kawasan penempatan khas yang dikawal selia, tertakluk kepada undang-undang negara serta keperluan kemanusiaan dan perlindungan antarabangsa.

Menurut beliau, langkah penempatan terkawal itu penting bagi memastikan pergerakan, kebajikan, keselamatan dan status setiap individu dapat dipantau dengan lebih sistematik tanpa membebankan masyarakat tempatan.

Beliau menegaskan bahawa pendirian tersebut bukan bermaksud menafikan nilai kemanusiaan atau penderitaan masyarakat Rohingya, sebaliknya Malaysia perlu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan kepentingan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan perlu menunjukkan ketegasan bahawa pintu negara bukan terbuka sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak.

“Kita boleh membantu atas dasar kemanusiaan, tetapi jangan sampai kelemahan kawalan menjadikan Malaysia lubuk kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” katanya.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.