PAMM bidas Menteri KDN; Hantar semua Rohingya walaupun apa jua status mereka

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) membidas pendekatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mahu mengenal pasti dan menapis status pelarian Rohingya sebelum mereka dihantar pulang ke Myanmar, dengan menyifatkan kerajaan banyak berdolak- dalih dan berlembut dengan kemasukan Rohingya yang semakin tidak terkawal.

Pengerusi PAMM, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung proses mengenal pasti status berkenaan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar kerajaan dalam menangani isu pelarian Rohingya yang telah berlarutan sekian lama.

“Mereka itu memang pelarian. Mereka datang ke Malaysia atas faktor konflik dan keselamatan, bahkan ramai dalam kalangan mereka  yang mengambil kesempatan datang ke sini untuk hidup sebagai warganegara.

“Siapa pun status mereka, semuanya tidak patut berada di negara ini. Rohingya wajib dihantar pulang. Keberadaan mereka di Malaysia telah menimbulkan terlalu banyak jenayah sehingga menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa keadaan,”katanya.

Saifuddin sebelum ini berkata KDN sedang melaksanakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap pelarian Rohingya sebagai persediaan bagi penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar, susulan persetujuan Myanmar menerima semula rakyatnya yang berada di luar negara.

Dato’ Dr Mustaffa berkata kerajaan perlu membezakan antara pertimbangan kemanusiaan dengan dasar pengurusan pelarian, termasuk memastikan kawalan sempadan, keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia tidak diketepikan.

Beliau berkata Malaysia juga perlu mempunyai mekanisme yang jelas bagi menentukan identiti dan latar belakang individu yang berada di negara ini, khususnya mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kalau proses mengenal pasti itu perlu dilakukan, buat secara menyeluruh dan cepat. Jangan sampai proses pengesahan menjadi alasan untuk membiarkan isu ini terus tergantung tanpa penyelesaian,” katanya.

“Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, manakala status pelarian tidak diiktiraf secara rasmi di bawah kerangka undang-undang domestik negara. Kerajaan sebelum ini turut menjalankan proses pendaftaran dan dokumentasi pelarian sebagai sebahagian daripada usaha mengurus komuniti berkenaan,”katanya.

Mustaffa berkata PAMM tidak menolak pendekatan kemanusiaan terhadap golongan yang melarikan diri daripada konflik, namun bantuan tersebut perlu disertai dasar yang tegas bagi mengelakkan kehadiran warga asing tanpa dokumen menjadi isu jangka panjang.

“Malaysia boleh membantu atas dasar kemanusiaan, tetapi kita juga mempunyai tanggungjawab kepada rakyat sendiri. Kedaulatan negara, keselamatan dan kepentingan rakyat mesti menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan menjelaskan garis masa penghantaran pulang, mekanisme tapisan serta tindakan terhadap mereka yang tidak memenuhi syarat untuk berada di Malaysia, sambil memastikan sebarang tindakan dibuat mengikut undang-undang dan mengambil kira faktor keselamatan

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.