ALOR SETAR-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organisation Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad memiliki status Penduduk Tetap di Malaysia.
Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, berkata perkara itu perlu disiasat secara telus kerana ia membabitkan persoalan berkaitan keselamatan, sistem pendaftaran negara serta kedaulatan Malaysia.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu menjelaskan bagaimana individu berkenaan boleh memperoleh status Penduduk Tetap dan apakah proses serta dokumen yang digunakan ketika permohonan tersebut dibuat.
“Persoalan utama yang perlu dijawab ialah sama ada semua prosedur, syarat dan tapisan keselamatan telah dipatuhi sebelum status tersebut diluluskan.
“Tetapi apa jua alasan, seorang pelarian mengikut undang-undang tidak boleh mempunyai kad pengenalan. Jika benar Zafar Ahmad ini mempunyai kad pengenalan merah atau biru, maka ia menyalahi undang-undang. Zafar wajib ditangkap dan diusir ,”katanya kepada media hari ini .
Beliau berkata, sekiranya siasatan mendapati wujud unsur penipuan, pemalsuan dokumen, rasuah atau penyalahgunaan proses, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Kad pengenalan dan status Penduduk Tetap bukan perkara kecil kerana ia berkait secara langsung dengan identiti seseorang serta kedudukan undang-undangnya di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mustaffa turut menggesa supaya kemungkinan kewujudan orang tengah atau sindiket yang mengambil kesempatan dalam proses mendapatkan dokumen dan status kependudukan turut disiasat.
Katanya, sekiranya terdapat kes seumpama itu, kerajaan wajar menjalankan semakan atau audit terhadap kes-kes berkaitan bagi memastikan sistem pendaftaran negara tidak disalahgunakan.
“Pendirian ini bukan serangan terhadap mana-mana kaum atau individu berdasarkan asal-usul mereka. Apa yang kita tuntut ialah ketelusan, pematuhan undang-undang dan perlindungan terhadap kepentingan serta kedaulatan Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang pemberian status Penduduk Tetap perlu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang, kepentingan nasional serta tapisan keselamatan yang sewajarnya.
“Dalam soal kedaulatan negara, kita tidak boleh bersikap sambil lewa. Jika terdapat pelanggaran undang-undang, pihak yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan,” katanya.
Mustaffa pada masa sama menyeru orang ramai supaya tidak membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana individu sebelum fakta dan hasil siasatan rasmi diperoleh.
Namun katanya, rakyat berhak mendapatkan penjelasan sekiranya timbul persoalan serius berkaitan sistem pendaftaran dan pemberian status kependudukan di Malaysia.
“Demi kedaulatan dan keselamatan negara, saya mendesak JPN serta agensi berkaitan menyiasat perkara ini dengan segera dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana status Penduduk Tetap tersebut diperoleh,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply