Tanah Melayu, Alam Melayu dan Negeri -Negeri Melayu akan kekal dalam sejarah, yang berakhir hnyalah kesetiaan kepada penjajah

KUALA LUMPUR– Tanah Melayu, Alam Melayu dan Negeri -Negeri Melayu akan terus kekal terpahat selamanya.

Sebaliknya yang berakhir ialah kiblat dan kesetiaan kepada kuasa asing, termasuk unsur-unsur kolonial yang mula disingkirkan sejak 1957.

Demikian tegas Pakar Sejarah, Profesor Madya Dr. Azmi Arifin, yang membidas kenyataan pihak yang cuba menenggelamkan sejarah panjang negara ini.

Menurut beliau, nama Tanah Melayu, Alam Melayu dan Negeri-Negeri Melayu akan terus kekal terpahat dalam sejarah sebagaimana asal-usul sesuatu bangsa yang tidak mungkin dipadamkan.

“Sebenarnya nama itu kekal dalam sejarah sampai bila-bila. Sama juga seperti sejarah asal-usul yang lain, ia tetap terpahat pada tembok sejarah.

“Sejarah itu tidak pernah berubah, walau sebanyak mana usaha dilakukan untuk menutup atau mengaburinya. Setiap orang pun tahu, jauh di sudut hati hakikat itu. Cuma ada yang demi kepentingan tertentu cuba untuk buat-buat jahil dan tidak mahu menerima,” katanya.

Terdahulu, veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim, mencetuskan reaksi apabila mendakwa Tanah Melayu telah berakhir selepas Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa.

Mengulas lanjut, Dr. Azmi menegaskan bahawa sejarah hadir bersama warisan dan kesinambungan, bukannya terputus begitu sahaja.

“Perlembagaan harus dibaca dalam kefahaman itu. Perlembagaan muncul berlapik sejarah. Terasnya ialah Melayu dan peribumi. Itu amat jelas,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.