Iktiraf UEC Pencabulan Besar Buat Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR – Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu ( PAMM) Negeri Kedah melahirkan bantahan paling keras terhadap usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilihat mengiktiraf sijil UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Pengerusinya, Dato’ Dr Mustafa Idrus menyifatkan tindakan itu sebagai satu penghinaan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan, pencabulan terhadap maruah bahasa Melayu serta pengkhianatan kepada semangat Perlembagaan Persekutuan yang sekian lama menjadi tunjang perpaduan negara.

Menurut beliau, rakyat perlu memahami bahawa isu UEC bukan isu peperiksaan semata-mata, tetapi melibatkan soal identiti negara, kedaulatan bahasa kebangsaan dan masa depan generasi Malaysia.

“Negara ini dibina atas asas satu sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi alat perpaduan rakyat berbilang kaum. Tetapi hari ini kerajaan seolah-olah sanggup merobek asas itu semata-mata mahu menjaga kepentingan politik dan meraih sokongan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut membidas pihak yang cuba mengaitkan pengiktirafan UEC dengan institusi tahfiz.

“Kenapa perlu heret tahfiz dalam isu ini? Pelajar tahfiz di negara ini tetap mengambil SPM persendirian. Mereka tidak pernah menolak sistem pendidikan kebangsaan.

“Mereka belajar agama, hafaz al-Quran, tetapi masih menghormati sistem negara dengan menduduki peperiksaan kebangsaan. Jadi jangan cuba samakan perjuangan tahfiz dengan UEC,” tegasnya.

Dato’ Dr Mustafa berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah sikap kerajaan yang dilihat semakin berani mengetepikan sensitiviti majoriti rakyat demi memenuhi tekanan politik sekutu mereka.

“Dulu masa mahu undi rakyat, bercakap soal Perlembagaan, bahasa Melayu dan perpaduan nasional. Tetapi selepas berkuasa, semuanya mula digadai sedikit demi sedikit.

“Hari ini UEC mahu diangkat masuk IPTA. Esok apa lagi mahu dikompromi? Bahasa Melayu? Dasar pendidikan negara? Hak rakyat majoriti?” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai isyarat bahaya terhadap masa depan sistem pendidikan negara.

“Kalau semua sistem asing mahu diiktiraf tanpa syarat selari dengan sistem kebangsaan, akhirnya negara akan melahirkan generasi yang hidup dalam kelompok masing-masing tanpa roh kebangsaan yang sebenar.

“Perjuangan pejuang kemerdekaan yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan akan menjadi sia-sia jika kerajaan sendiri membuka ruang kepada perpecahan pendidikan,” katanya lagi.

Menurut beliau, rakyat tidak boleh terus berdiam diri melihat dasar negara diubah sedikit demi sedikit hanya kerana kuasa politik.

“Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim wajib ditolak. Mereka menghianati asas- asas pembentukan negara bangsa.

“Jangan kerana mahu kekal berkuasa, maruah pendidikan negara sanggup dijual dan prinsip Perlembagaan sanggup dipermainkan,” katanya

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.