PAMM Sokong Penuh Titah Sultan Pahang, Malaysia Bukan Alat Terima Pendatang Asing

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR – Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan di negara ini.

Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus menegaskan bahawa titah tersebut bukan sekadar pandangan peribadi, sebaliknya satu peringatan besar daripada institusi Raja-Raja Melayu yang wajib diberi perhatian oleh kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia.

“Apabila seorang Sultan bertitah tentang isu ini, ia bukan isu kecil. Ini soal kedaulatan negara, amanah pentadbiran dan masa depan rakyat,” tegas beliau.

Menurut Dato’ Dr Mustaffa, pemberian PR dan kewarganegaraan secara longgar dan tidak terkawal hanya akan menyusahkan rakyat tempatan serta mengancam kesejahteraan negara dalam pelbagai sudut kritikal termasuk peluang pekerjaan, akses kesihatan, pendidikan dan pemilikan tanah.

“Rakyat hari ini sudah terhimpit. Anak tempatan bergelut mencari kerja, kos sara hidup meningkat, kemudahan awam semakin sesak. Dalam keadaan ini, kerajaan pula seolah-olah membuka pintu luas kepada warga asing,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keadaan ini memberi tekanan besar kepada Bumiputera, khususnya apabila sejarah membuktikan bahawa sebahagian besar penerima kewarganegaraan sebelum ini datang daripada komuniti tertentu, sekali gus mengubah keseimbangan sosial, ekonomi dan demografi negara.

“Ini bukan soal perkauman, ini soal keadilan dan kelangsungan sebuah negara berdaulat. Jika kewarganegaraan diberi sewenang-wenangnya, ia memberi gambaran Malaysia sebuah negara yang remeh dan lemah mempertahankan hak rakyatnya sendiri,” katanya.

PAMM Kedah menegaskan bahawa kerajaan wajib menghentikan serta-merta sebarang kelonggaran melampau dalam isu pemberian PR dan kewarganegaraan, serta melakukan audit menyeluruh terhadap semua kelulusan yang telah dibuat.

“Jika kerajaan gagal mendengar suara Raja dan rakyat, maka jelas kerajaan sedang bermain api. Api ini bukan kecil, ia boleh membakar masa depan negara,” jelasnya.

Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu dan Bumiputera, agar celik, bersuara dan bangkit mempertahankan hak demi memastikan negara ini tidak tergadai akibat kelemahan dasar dan ketamakan kuasa.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.