Semangat ASEAN berjaya diterjemahkan, PAMM ucap syabas

Dato' Dr Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR -Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) serta Sekretariat ASEAN atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 ke-47 yang berlangsung dengan jayanya di Kuala Lumpur.

Pengerusi PAMM, Datuk Mustaffa Idrus berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan Malaysia mengemudi agenda diplomasi serantau serta mengangkat imej negara di mata dunia.

“Syabas dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri serta semua pihak yang memastikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berjalan lancar dan berjaya.

” Ia memperlihatkan kepimpinan Malaysia yang matang dalam menangani isu serantau dengan penuh hikmah. Ia juga menggambarkan semangat ASEAN bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, beliau menegaskan bahawa dalam keghairahan menjalin hubungan antarabangsa, sambutan terhadap tokoh luar seperti Donald Trump tidak wajar disertai unsur tarian atau keraian berlebihan.

“Hubungan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat perlu diteruskan atas dasar diplomasi dan kepentingan negara, tetapi cara sambutan hendaklah mencerminkan maruah serta keperibadian bangsa,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap agar kejayaan ASEAN 2025 turut menjadi platform memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau, khususnya hubungan antara negara jiran seperti Kemboja dan Thailand yang perlu terus kekal harmoni.

“ASEAN perlu memainkan peranan aktif sebagai jambatan perdamaian dan kerjasama. Hubungan baik antara Kemboja, Thailand dan negara-negara anggota lain amat penting untuk mengekalkan kestabilan politik dan keselamatan rantau ini.

“Kita harapkan kedamaian kedua-dua negara bukanlah singkat tetapi kekal selamanya. Selain itu, isu-isu melibatkan kemanusian seperti di Myanmar, selatan Thailand dan lain-lain perlu diberikan perhatian.

“PMX juga menyentuh isu Gaza, cuma bagi kami lebih elok jika isu Gaza disentuh secara lebih mendalam khususnya berkaitan genosid di sana.

“PAMM berharap isu Gaza tidak akan terhenti atau hanya jadi wayang pacak pada musim tertentu saja, tetapi wajib diperjuangkan dengan ikhlas sampai Palestin merdeka,”katanya.

Datuk Mustaffa turut menyeru agar semua pihak mengekalkan prinsip diplomasi bermaruah dan berpaksikan nilai bangsa, supaya Malaysia kekal dihormati dan disegani di pentas antarabangsa.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.