Yuran RM15 je, tapi program mengalahkan….

BALINGYuran hanya serendah RM15 untuk seorang peserta, tetapi program amat berkelas!

Itu rumusan hampir 700 peserta yang mengikuti program Kayuhan Amal Fun Ride di sini, semalam.

Rata-rata peserta memuji trak kayuhan yang disifatkan paling terbaik pernah dilalui mereka termasuk jumlah yuran dikenakan.

Sepanjang kayuhan, mereka menempuh laluan di kaki gunung, sungai, bukit, jalan raya laluan kampung, kebun getah termasuk singgah di Gua Sireh.

Peserta memulakan kayuhan dari Kompleks Belia dan Sukan Baling

Program amal itu dianjurkan Persatuan Pencinta Alam Baling (PPAB) dengan kerjasama Kelab Berbasikal Bayu Baling (BCC), Persatuan Rekreasi Luar dan  Malim Gunung Baling, Persatuan Penduduk Kampung Che Wan Jusoh dan Persatuan Penduduk Dalam Wang .

Trek terbawa-bawa dalam mimpi

Wakil peserta dari Geng Kayuh Fasa 8 (GKF8) Pulau Pinang, Muhammad Jamaluddin,41, berkata, trek disediakan penganjur begitu baik dan sebagai peserta dia amat berpuas hati.

Memang “awesome”, dari mula masuk sampai ragaih (mendaki) bukit, tolak gerek (basikal) memang terbaik. Trek akan terbawa-bawa dalam mimpi,”katanya.

Peserta melalui kebun getah

Seorang lagi peserta dikenali sebagai Man berkata, dia berasa seperti ingin mengulangi kayuhan selepas menyertai program berkenaan.

“Trek sangat hebat. Pohon penganjur jadikan program tahunan,”katanya.

Terdahulu, peserta kayuhan dilepaskan Ahli Dewan Undangan Kupang Kuala Ketil yang juga pengerusi PPAB Mejar (B) Mansor Zakaria, ADUN Kupang Brigadier (B) Datuk Najmi Ahmad dan ADUN Bayu, Abd Nasir Idris.

Dua dari kiri Najmi, Abd Nasir (tengah) dan Mansor dua kanan memberikan sokongan kepada program dianjurkan

Para peserta memulakan kayuhan dari Kompleks Rakan Muda Baling dan berakhir di Gua Kelambu Gunung Pulai dengan jarak 25 kilometer.

Sementara itu, Setiausaha program Kayuhan Amal Fun Ride, Mohd Zaid Ab Mokti berkata, kayuhan amal itu dianjurkan dalam usaha menaikkan imej daerah Baling sebagai pusat pelancongan terkemuka.

“Peserta memulakan kayuhan di Kompleks Belia dan Sukan daerah Baling.

“Seterusnya mereka menuju ke Kampung Lubuk Pedati, Bukit Puyoh, Kampung Padang Che Mas, Kampung Sekolah, Kampung Seberang, Kampung Baru, Kampung Che Wan Jusoh dan berakhir di perkarangan Gua Kelambu, Gunung Pulai,”katanya.

Peserta lapan tahun paling muda

Mohd Zaid berkata, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun menjadi peserta paling muda menyertai program kali pertama itu.

Kanak-kanak turut menyertai program berkenaan

“Malah program ini turut disertai peserta warga emas berusia 68 tahun,”katanya.

Beliau berkata, objektif penganjuran itu bukanlah bermotif keuntungan, tambahan pula yuran dikenakan amat murah.

Mohd Zaid bergambar di garisan penamat

“Jika ikut dengan harga yuran RM15, memang tak padan. Tapi matlamat kita supaya semua orang boleh sertai kayuhan ini.

“Dengan harga amat murah, peserta juga diberikan sehelai baju termasuk makan dan minum,”katanya.

Pihak penganjur turut mengambil alternatif menyediakan cabutan bertuah kepada peserta.

Dengan harga yuran amat murah, penganjur masih mampu menyediakan hadiah bagi cabutan bertuah

Tambah Mohd Zaid, PPAB akan berusaha menjadikan aktiviti itu sebagai acara tahunan atau dwi tahunan.

Sambil berkayuh seorang peserta turut mengambil peluang bergambar dalam Gua Sireh

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.