Tutup sekolah, kerajaan tak lewat buat keputusan

Dr. Radzi meninjau pelajar di salah sebuah sekolah baru-baru ini

KUALA LUMPUR- Kerajaaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah lewat membuat keputusan khususnya melibatkan soal penutupan sekolah.

Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, beliau menghargai semua pandangan dan saranan pelbagai pihak yang mahu sekolah ditutup sementara akibat peningkatan kes COVID-19.

Namun katanya, sebarang keputusan KPM berdasarkan penelitian yang mendalam terhadap data yang ada serta perbincangan terperinci dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Mungkin ada yang melihat dalam keadaan tertentu kami seolah-olah lambat membuat keputusan. Hakikatnya tidak begitu.

“Tiada siapa di dunia ini berpengalaman menangani krisis COVID-19. Ianya tidak pernah berlaku,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pengalaman berdepan COVID-19 sejak beberapa bulan lalu membantu kerajaan menguruskan situasi semasa.

“Kita telah mula belajar beberapa bulan kebelakangan ini apakah pendekatan yang sesuai dalam suasana dan keadaan tertentu.

“Alhamdulillah, pengalaman mengajar kita untuk membuat sesuatu dengan lebih baik. Menaungi lebih lima juta orang murid sekolah, pelajar Matrikulasi dan IPG (Institut Perguruan Guru), lebih 500,000 orang guru, pensyarah dan kakitangan, serta lebih 10,000 buah sekolah memerlukan pendekatan yang cermat,”katanya.

Beliau berkata, ketelitian amat penting dalam melahirkan keputusan yang tepat dan jitu.

“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) mula dilaksanakan, walaupun terdapat kekurangan di sana sini, secara keseluruhannya pengoperasian institusi pendidikan dibawah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) di sepanjang tempoh ini berjalan dengan baik.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua ibu bapa, guru, murid, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), warga sekolah dan warga KPM secara keseluruhannya,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Radzi berkata, KPM mengesahkan penutupan sebanyak 142 buah kerajaan termasuk swasta di Selangor mulai esok (8 Oktober).

Katanya, sekolah dalam zon merah di Sabah juga telah diarah ditutup.

“Hari ini KPM mendapat pengesahan daripada KKM bahawa kawasan Klang, Selangor serta di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah adalah kawasan zon merah.

“Sehubungan itu, petang tadi KPM telah mengumumkan bahawa sekolah di kawasan tersebut akan ditutup bermula esok 8 Oktober 2020 sehingga 23 Oktober 2020.

“Sepertimana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau semalam, sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah di seluruh negara, jika perlu, akan dibuat di peringkat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 setelah menerima nasihat daripada KKM,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.