“Tolonglah tangkap abang saya..”

Mangsa berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan secepat mungkin

KUPANG– Adik kepada seorang penagih tegar merayu kepada pihak berkuasa supaya segera menangkap abangnya di sebuah kampung di sini.

Lelaki ingin dikenali sebagai Ahmad,22, berkata, abangnya berusia 26 tahun berjinak-jinak dengan dadah mulai 2016.

Menurutnya, abangnya akan bertindak agresif kepada keluarga sekiranya tidak diberikan wang untuk membeli bahan larangan itu.

“Saya merayu tolonglah tangkap abang saya, setakat ini masalah ini sudah diadukan kepada pihak berwajib tetapi belum ada tindakan diambil,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Katanya, perbuatan abangnya menyebabkan kakak berusia 24 tahun termasuk dua adik berumur 18 dan 20 tahun takut pulang ke rumah.

“Demi keselamatan mereka tinggal di rumah ahli keluarga lain buat sementara waktu.Jadi hanya tinggal saya, abang dan ayah di rumah itu,”katanya.

Ahmad berkata, dia dan ayahnya pernah dicederakan kerana gagal memenuhi apa yang diminta oleh lelaki terbabit.

“Saya dan ayah pernah dipukul abang. Jadi mahu tidak mahu kami terpaksa serahkan wang kepadanya walaupun tahu dia akan membeli benda haram tu,”katanya.

Katanya lagi, kebanyakan barangan rumah seperti dapur gas, alatan motosikal dan lain-lain telah dijual abangnya demi melepaskan ketagihan dadah.

Terdahulu, Ahmad membuat aduan berasingan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang.

Setiausaha PKWR DUN Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar berkata, pihaknya telah tampil membantu mangsa dengan membuat aduan kepada pihak berwajib.

“Menangkap lelaki berkenaan bukanlah bidang kuasa kita. Tetapi ia menjadi tanggungjawab PKWR DUN Kupang untuk maklumkan kepada pihak berkuasa selepas menerima aduan lanjut daripada ahli keluarga lelaki terbabit.

“Kita berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu sebelum sesuatu lebih buruk terjadi,”katanya.

Tambahnya, mangsa juga menangis ketika mengadukan hal terbabit di PKWR Kupang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.