Tewas tipis kepada Thai, Malaysia berpontensi untuk layak

Malaysia tewas 1-0 kepada Thailand

KUALA LUMPUR–Malaysia masih mempunyai peluang memburu tiket ke separuh akhir Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 selepas berjaya mengelak daripada menjadi mangsa belasahan Thailand.

Malaysia tewas tipis 1-0 dalam pertarungan menentang Thailand di Stadium Rajamangala Bangkok, malam ini.

Gol Patril Gustavsson hasil kesilapan mudah penjaga gol, Haziq Nadzli memberikan Thailand tiga mata penuh dan kedudukan selesa dalam Kumpulan A.

Walaupun tewas, Malaysia yang membariskan skuad baharu berjaya memberikan saingan kepada tuan rumah.

Semangat patriotik pemain skuad negara pada kejohanan kali ini wajar dipuji dan dicontohi pemain-pemain lain yang lebih mementingkan kelab dari negara.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang caca marba dan kacau bilau dalam menguruskan pentadbiran bola sepak negara dan liga sepatutnya malu dengan semangat juang pemain.

Para pemain walaupun dihimpit dengan pelbagai tekanan termasuk memberikan komitmen pada kelab dalam ketika Piala Asean sedang berlangsung, tetap berjuang demi negara.

Malaysia bakal menentang Singapura pada perlawanan terakhir di Stadium Bukit Jalil pada 20 Disember ini dalam misi wajib menang dengan jumlah jaringan selesa, dalam masa sama mengharapkan Kemboja dan Singapura tercicir mata dan dibelasah oleh Thailand.

Malaysia sebelum ini seri 2-2 menentang Kemboja dan menang tipis 3-2 ke atas Timor Leste.

Thailand pula menang bergaya 10-0 ke atas Timor Leste pada perlawanan pertama manakala Singapura yang bakal menjadi halangan terakhir skuad kebangsaan telah mencatat dua kemenangan ke atas Kemboja 2-1 dan 3-0 ke atas Timor Leste.

Malaysia tidak lain hanya boleh mengharapkan Thailand untuk terus unggul dalam Kumpulan A dan menjadi penyelamat supaya dapat lolos dari peringkat kumpulan.

 

RENTAS7/ FOTO: FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.