Sokong Akta Pilihan Raya, hapus lompat parti

Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR-Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) kedah menyokong usul dan cadangan pindaan Akta Pilihan Raya bagi mencegah budaya lompat parti.

Ketua Penyelaras, Datuk Mustaffa Idrus berkata, budaya lompat perlu dicegah kerana membawa mudarat kepada kestabilan politik serta ekonomi.

“PUTRA Kedah menyokong pindaan Akta Pilihan Raya yang diusul oleh Presiden PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali. Kami yakin jika akta ini diluluskan, kehangatan politik negara akan reda,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Beliau berkata, budaya lompat parti jika tidak dibendung akan menakutkan pelabur luar negara.

“Lompat parti melibatkan perubahan kerajaan negeri atau Pusat. Nyatakan kepada kami pelabur mana yang tidak takut?

“PRU-15 ialah masa depan negara. Maka PUTRA berharap akta ini dapat diluluskan segera,”katanya.

Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pengajaran terbaik kepada semua ahli politik supaya tidak mengejar kuasa.

“Sudah tentu apabila PRN diadakan ketika wabak COVID-19 melanda, ia memakan perbelanjaan sangat besar.

“Sepatutnya kewangan tersebut digunakan bagi membantu rakyat yang memerlukan. Inilah kesilapan apabila negara ditadbir oleh kerajaan yang kurang stabil,”katanya.

Sementara itu katanya, kestabilan kerajaan perlu bermula dari Sabah.

“Cukup-cukuplah kita ditadbir kerajaan yang lemah selama 22 bulan dan diganti pula dengan kerajaan yang kurang kukuh.

“Bermula Sabah, kita bina semula kerajaan Pusat yang kukuh dan disegani,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.