Sambutan Hari Malaysia di Sabah meriah

KOTA KINABALU – Tanpa penonton, sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah
(SICC), Kota Kinabalu Sabah pada semalam tetap meriah.

Sambutan berskala kecil yang hanya melibatkan 62 orang tetamu jemputan.

Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dipantau sepanjang majlis berlangsung termasuk keperluan wajib untuk dua dos vaksin lengkap bagi
petugas dan tetamu jemputan.

“Malaysia Prihatin” terus dikekalkan sebagai tema Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini dan pengekalan ini masih relevan serta mendukung aspirasi “Keluarga Malaysia” yang telah disarankan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri
Yaakob.

Ia amat bertepatan dengan Sambutan Hari Malaysiayang menggambarkan penyatuan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak pada tahun 1963.

Indikasi ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dalam kepelbagaian.

Sambutan yang bermula pada pukul 8.30 malam itu dimeriahkan dengan kehadiran Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin; Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan wakil Ketua
Menteri Sarawak, Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.

Acara simbolik menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2021 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah dan Yang Berhormat Timbalan Ketua Menteri Sarawak mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak turut diadakan bagi memperingati
penubuhan negara Malaysia pada 1963.

Bersesuaian dengan tema “Malaysia Prihatin”, acara pada malam ini turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan, nyanyian lagu patriotik dan tayangan video montaj “Malaysia Prihatin”.

Paling mencuri tumpuan, lima (5) segmen persembahan iaitu Merdeka Negaraku, Jalur Perpaduan, Kita Perwira, Warna Warni Malaysia dan Malaysia Prihatin melibatkan persembahan
oleh artis budaya Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.