Raya dah dekat, NGO tuntut bayaran BPN dipercepatkan

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) menuntut kerajaan mempercepatkan bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada rakyat.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pihaknya mendapati masih ada rakyat yang berkelayakan belum menerima bantuan berkenaan

Menurutnya, mereka berkelayakan yang memohon bantuan itu masih dalam status “dalam proses.”

“Bagi mereka yang mengemukakan proses rayuan juga kita harap diluluskan dengan segera.

“PAMM berharap kerajaan mempercepatkan bayaran BPN memandangkan keperluan rakyat untuk berbelanja terutamanya bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustaffa berkata, bayaran kepada rakyat diharap dapat dijelaskan sekurang-kurangnya lima hari sebelum Aidilfitri.

“Penularan wabak COVID-19 memberikan kesan kepada ekonomi kerajaan serta rakyat. Kita fahami kesan kepada kedua-dua pihak.

“Namun, apabila ramai yang boleh berbelanja menggunakan bantuan disalurkan ia akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara ini. Terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin,”katanya.

Sementara itu katanya, beliau berharap masyarakat tidak mensia-siakan pengorbanan barisan hadapan yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara.

“Walaupun kerajaan pusat telah melonggarkan PKP mulai semalam, kita berharap rakyat terus patuh dalam menjaga penjarakan sosial.

“Jika boleh kekalkan momentum satu rumah hanya seorang sahaja yang keluar bagi urusan penting,”katanya.

Pada 27 Mac, kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memastikan ekonomi berkembang walaupun berdepan cabaran ancaman COVID-19.

Atas keprihatianan yang mendalam, kerajaan pada 6 April sekali lagi mengumumkan Pakej Prihatin tambahan dengan suntikan dana berjumlah RM10 bilion.

Untuk rekod, BPN akan dibayar dalam dua iaitu pada 6 April dan fasa kedua dibayar mulai 4 Mei .

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.