PUTRA harap sokongan rakyat Kedah

SUNGAI PETANI– Rakyat Kedah wajar beralih kepada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) demi membela maruah kaum Melayu.

Ketua Penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, PUTRA ialah platform terbaik kepada gerakan politik orang Melayu.

“PUTRA lahir daripada penghinaan pihak tertentu kepada bangsa Melayu.

“Rakyat Kedah keseluruhannya sepatutnya beralih kepada PUTRA yang dipimpin Datuk Paduka Ibrahim Ali,”katanya di sini, hari ini.

Mustaffa

Terdahulu, Mustaffa menghadiri perjumpaan bersama Ketua Bahagian PUTRA seluruh Kedah di Pejabat PUTRA Kedah, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan dibawah pemerintahan PH tidak menunjukkan sebarang perubahan terutamanya di Kedah.

“Gabungan PH lebih kepada retorik, sudah dua tahun memerintah tetapi tiada impak menyeluruh kepada kemajuan Kedah,”katanya.

Beliau berkata, PH tidak mampu mentadbir negara dengan baik ekoran percakaran parti-parti kompenan di dalamnya.

Tambahnya, satu lagi parti dominan orang Melayu iaitu UMNO pula ibarat “banyak penyakit”.

“Itupun asyik berpolitik siang malam, bukan mahu membela rakyat sangat.

“PUTRA pilihan yang boleh menongkah survival bangsa. Rakyat Kedah perlu kepimpinan politik yang benar berjiwa rakyat dan bukan pemimpin hipokrit,”katanya.

Mengulas perjumpaan bersama Ketua Bahagian PUTRA seluruh Kedah, beliau berkata, PUTRA akan berusaha memantapkan gerak kerja supaya dapat menarik sokongan masyarakat Melayu.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.