ALOR SETAR -Publisiti tempat-tempat menarik sempena Tahun Melawat Kedah 2025, tahun ini perlu diluaskan di media massa dan media sosial.
Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, semua pihak berkepentingan perlu menyebar luaskan promosi dan publisiti tempat-tempat menarik dan pelancongan Kedah supaya sektor pelancongan tahun ini rancak dan mencapai sasaran kerajaan negeri.
“Negeri Kedah banyak tempat-tempat menarik dan mempunyai potensi untuk menarik pelancong. Ia perlu dipromosi lebih luas bukan saja video dan media sosial, tetapi meliputi televisyen, radio, portal online, majalah dan surat khabar.
“Kerajaan negeri, NGO, penduduk dan semua pihak memastikan Kedah menarik ramai pelancong dalam dan luar negara,”katanya.
Beliau berkata, selain kawasan menarik, Kedah perlu menjadikan produk makanan tradisional sebagai daya penarik.
“Kita ada banyak kuih-muih tradisional seperti lepat bunga cicar, kuih karas, laksa kebok dan banyak lagi.
“Jika Pantai Timur berbangga dengan budu, ikan pekasam kita juga tidak kurang hebatnya.
“Soalnya sejauh mana kita promosi makanan warisan kita? Begitu juga soal mempublisiti tempat menarik, adat dan budaya resam penduduk tempatan,”katanya.
Selain memperkasakan publisiti, Mustaffa menuntut semua pihak menjaga kebersihan tandas awam dan masjid, restoran serta kawasan awam.
“Tandas masjid paling penting diutamakan kerana ia menjadi tumpuan para musafir. Kita boleh contohi Masjid Bukit Bunga Kelantan, tandasnya sangat bersih dan terjaga rapi.
“Masjid bukan sekadar tempat solat dan rehat, tetapi kebersihan tandasnya membawa imej kawasan dan negeri yang dikunjungi pelancong,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply