Pastikan Malaysia bukan negara kedua Rohingya

Media melaporkan 200 etnik Rohingya mendarat di Pantai Yu semalam

ALOR SETAR Kerajaan perlu memastikan kemasukan 200 etnik Rohingya di Pantai Teluk Yu Langkawi Kedah bukan bersifat tetap.

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, Malaysia khususnya Kedah bukan tempat untuk dijadikan negara kedua etnik Rohingya yang semakin ramai di Malaysia.

“Beberapa dekad lalu pelarian Rohingya boleh dikatakan sebagai mencari perlindungan daripada kekejaman Myanmar.

“Kini trend perpindahan itu jika diperhalusi lebih kepada perpindahan mencari negara baru untuk tinggal tetap, bukan lagi mencari perlindungan sementara,”katanya.

Mustaffa berkata, pelarian-pelarian asal telah mewariskan anak dan cucu mereka sehingga tidak lagi mahu keluar dari Malaysia.

Katanya, situasi ini secara tidak langsung bertukar sebagai satu ancaman kepada penduduk tempatan.

“Ditambah lagi dengan ‘trend’ etnik Rohingya di Malaysia yang mempromosi adik beradik mereka di Rohingya berpindah ke sini, sudah pasti kita sebagai tuan rumah tidak boleh membiarkan masalah ini berlarutan.

“Etnik Rohingya itu sendiri perlu berani bangkit mempertahankan maruah diri seperti mana rakyat Palestin. Peranan negara-negara Islam memberikan pendedahan tentang perjuangan amat penting,”katanya.

Beliau berkata, isu Rohingya ini walaupun kompleks bukan bererti kita perlu menggadaikan tanah air sebagai negara kedua etnik berkenaan.

“Sampai bila kita nak jadi rumah Rohingya? Di Indonesia gerakan menghalau etnik Rohingya telah dimulakan oleh mahasiswa.

“Sikap etnik Rohingya, sebilangan besar tidak tahu bersyukur. Apabila kekuatan mereka bertambah kuat, mereka akan menyakiti penduduk tempatan. Isu Rohingya ini sama besar dengan isu kemasukan pelancong China yang tidak mahu keluar dari negara ini.

Mustaffa berkata, pemimpin negara perlu tegas dalam isu Rohingya supaya Malaysia tidak menjadi negara yang mudah dibuli.

“Dalam kita menyediakan perlindungan pastikan ia hanya kepada mereka yang dizalimi, bukannya yang suka-suka mahu duduk di sini.

“Itupun pastikan bukannya perlindungan itu dijadikan alasan untuk mereka tinggal tetap. Isu ini perlukan desakan Malaysia kepada negara-negara serantau termasuk Asia dan Eropah.

“Pemimpin Malaysia perlu bijak dan berani bersuara. Pemimpin yang lemah hanya akan membuatkan Malaysia terus menjadi lokasi pelarian asing,”katanya.

Media massa melaporkan seramai 200 etnik Rohingya menaiki tongkang mendarat di Pantai Teluk Yu pada awal pagi semalam.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.