KUALA LUMPUR–Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menuntut semua peniaga bazar Ramadan tidak menjual tapak bazar kepada pihak ketiga.
Pengerusinya, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, tindakan itu bukan saja menyalahi undang-undang tetapi tidak memperoleh keberkatan dalam perniagaan.
“Janganlah lesen kebenaran niaga yang telah diberikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disalah guna dengan menjual semula tapak kepada peniaga-peniaga lain dengan harga lebih mahal.
“Kita mahukan kebenaran telah diberikan PBT dimanfaat sepenuhnya oleh para penjaga bazar Ramadan,”katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Mustafa berkata, semua peniaga dituntut menyediakan bahan makanan bersih dan berkualiti kepada pembeli.
“Janganlah makanan lama dimasak dan dijual semula. Janganlah makanan yang kita sendiri was-was dan kotor dijual kepada orang ramai.
“Isu-isu begini selalu timbul setiap kali Ramadan. Maka dalam sambutan Ramadan penuh makna pada tahun ini, PAMM menuntut semua peniaga bersikap jujur dan amanah dalam berniaga.
“PAMM tidak lagi mahu mendengar laporan-laporan berkaitan makanan berulat dan sebagainya.
“Kita orang Islam mestilah bersumberkan kepada kebersihan dan jadikan makanan itu sebagai sedekah dalam kita mencari rezeki,”katanya.
Beliau berkata, PAMM akan sentiasa memantau sebarang isu melibatkan peniaga supaya segala masalah sama tidak berulang.
RENTAS7








Leave a Reply