NGO tuntut Mukhriz jelaskan kedudukan sebenar dalam Bersatu

PENDANG– Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diminta menjelaskan kedudukannya yang sebenar dalam Bersatu kepada rakyat Kedah.

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, ini kerana, Mukhriz telah mengambil tindakan yang berlawanan berbanding keputusan ditetapkan partinya.

“Dia (Mukhriz) hanya buat kepala sendiri, Bersatu putuskan yang lain dia dengan beberapa kerat lagi (pemimpin) buat cara lain.

“Bersatu kini dalam Perikatan Nasional (PN) dia pula mahu bersama Pakatan Harapan (PH). Jika macam itu lebih baik kamu tubuh atau masuk parti baru,”katanya hari ini.

Terdahulu, Mustaffa merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bendang Raja di sini.

Mustaffa merasmikan Mesyuarat PIBG SK Bendang Raja hari ini

Beliau berkata, jalan terbaik untuk Mukhriz menyelesaikan kemelut ialah meletakkan jawatan Menteri Besar secara terhormat.

“Mukhriz hakikatnya bukan lagi sebahagian daripada Bersatu. Lebih baik dia letak jawatan sahaja.

“Biarlah Kedah ditadbir urus oleh PN bersesuaian dengan peralihan kuasa di peringkat pusat. Jika ini berterusan bagaimana nak majukan negeri ini,”katanya.

Dakwanya, Mukhriz walaupun dua kali mentadbir Kedah ketika berada dalam UMNO dan kini Pakatan Harapan (PH), keadaan negeri ini masih lagi di takuk lama.

“Rakyat sudah jemu dan muak berada di bawah PH yang tidak menunaikan janji.

“Di Kedah sendiri beberapa perkara asas gagal diselesaikan antaranya isu bekalan air, peluang pekerjaan anak muda serta pembangunan negeri,”katanya.

Tambahnya, antara kawasan terjejas bekalan air ialah daerah Baling dan Sungai Petani.

“Kampung Bendang Raja, dan kawasan Kubur Panjang dalam Parlimen Pendang pun mengalami masalah sama dan gagal ditangani Mukhriz walaupun sudah dua kali dilantik sebagai Menteri Besar

“Atas dasar rasionalisasi, PAMM menyokong negeri ini ditadbir oleh PN. Rakyat perlu diutamakan berbanding masalah parti politik,”katanya.

Tambahnya, di bawah PH, kawasan pendalaman di Kedah juga kurang membangun walaupun mempunyai banyak sumber.

“Seperti di Baling dan Sik, banyak kawasan-kawasan baru yang boleh dibangunkan bagi manfaat negeri dan rakyat. Sayangkan kita lebih mengutamakan sumber yang sedia ada.

“Kita lebih banyak berikan alasan untuk memajukan satu-satu kawasan, inilah budaya pemikiran yang perlu dihapuskan,”katanya

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.