MOSTI serah Kubikel Saringan COVID-19, tempat di hospital dan pusat kesihatan daerah

PUTRAJAYA-Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 13 Mei lalu menyerahkan satu unit Kubikel Saringan COVID-19 (COVID-19 Screening Booth – CSB) yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19 kepada Pusat KesihatanĀ Daerah Putrajaya.

MOSTI dalam satu kenyataan menyebut, Kubikel Saringan COVID-19 berkenaan merupakan salah satu daripada lapan (8) unit kubikel saringan yang dibangunkan pada Fasa Pertama untuk ditempatkan di hospital serta pusat kesihatan daerah terpilih di seluruh negara.

“CSB dibangunkan bertujuan untuk meniminumkan penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) serta meminimumkan kontak antara petugas kesihatan dengan pesakit bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada barisan hadapan.

“Kubikel di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya ini dibangunkan oleh Syarikat iDeria Sdn. Bhd, anak syarikat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan ia merupakan hasil usaha sama antara MOSTI, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan peruntukan dana
daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),”katanya.

Kenyataan berkata, inisiatif itu juga dijayakan secara bersama oleh Pusat Nanoteknologi Kebangsaan dan syarikat NanoMalaysia Berhad.

Penyerahan disempurnakan oleh YB Tuan Haji Ahmad Amzad Hashim, Timbalan MenteriĀ Sains, Teknologi dan Inovasi.

Menurutn kenyataan itu, Kubikel saringan COVID-19 dilengkapi ruang bertekanan positif dengan sistem penapis HEPA bagi petugas kesihatan, permukaan dinding dengan salutan nano anti-viral serta ruang pemisah antara pesakit dengan petugasĀ kesihatan.

“Kubikel saringan ini boleh digunakan sama ada di dalam atau luar bangunan.

“Saiz kubikel yang kecil ini membolehkannya untuk diletakkan di klinik kesihatan dan pusat kuarantin yang mempunyai kawasan yang terhad,”katanya.

Tambahnya, sistem walk-through membenarkan diagnosis dan sejarah penyakit direkodkan tanpa memerlukan kontak secara fizikal antara petugas kesihatan dengan pesakit.

“Adalah menjadi harapan MOSTI agar Kubikel Saringan COVID-19 yang dibangunkan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat dan dapat membantu petugas kesihatan dalam melaksanakan saringan wabak COVID-19 dengan lebih mudah,pantas dan selesa agar negara kita dapat bersama-sama memerangi penularan wabak COVID-19,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.