Mahasiswa perlu “gempur” sekolah

KUALA LUMPUR-– Mahasiswa perlu membantu murid dan pelajar sekolah dari segenap segi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, mahasiswa yang aktif, berkeperibadian tinggi, dan mempunyai idealisme yang kukuh sedar akan peranan mereka kepada masyarakat.

“Mahasiswa sebegini tidak hanya tahu apa yang mereka harus lakukan, tetapi tahu kenapa mereka melakukannya,”katanya di Facebook bagi mengulas program Sekolahku Universitiku, hari ini.

Maszlee melancarkan program “Sekolahku Universitiku” di Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai hari ini.

Beliau berkata, kelompok mahasiswa yang lengkap dengan tiga ciri berkenaan mempunyai gabungan dua elemen terpenting iaitu pemikiran yang benar dan susila yang tinggi.

“Atau apa yang sering disebut oleh Za’ba, ketinggian akal dan budi,”katanya

Beliau berkata, sebanyak 20 Universiti Awam (UA), empat “Government Linked Universities” (GLU) dan 43 buah sekolah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Menurutnya, ia membuktikan program itu telah menterjemahkan dasar penting diperkenalkan kerajaan awal tahun ini, iaitu universiti untuk masyarakat.

“Kita mahu kewujudan kita, setiap saat dan minit yang kita peruntukkan mestilah ke arah menyelesaikan masalah masyarakat.

“Bertitik tolak daripada inilah, kita tidak mahu lagi wujudnya kesenggangan antara universiti dan sekolah.

“Sekolah perlu sentiasa berinteraksi dengan universiti, universiti pula perlu sentiasa berinteraksi dengan industri. Siklus inilah yang melahirkan ekosistem pendidikan yang baik dan kalis masa hadapan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.