Kerajaan baru di Kedah, peranan SADA lebih luas

ALOR SETAR- Syarikat Air Darul Aman (SADA) dijangka mengambil alih peranan syarikat konsesi dan pengoperasian sekiranya berlaku perubahan kerajaan negeri ini.

Pucuk pimpinan kerajaan negeri dijangka bertukar susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan semalam.

Menurut sumber dalaman SADA yang enggan didedahkan, pihak syarikat optimis kerajaan baharu akan memberikan penekanan kepada perkara berkenaan.

“Sekiranya berlaku perubahan kerajaan negeri, kami di sini yakin kerajaan baru tidak akan menyambung konsesi air kepada Air Utara Indah Sdn Bhd (AUISB) dan Taliworks Sdn Bhd (TLSB) atau kepada mana-mana syarikat swasta lain.

“Langkah ini perlu demi menjimatkan perbelanjaan SADA setiap tahun. SADA sebenarnya mempunyai keupayaan menguruskan sendiri dengan kos lebih murah,”katanya kepada Rentas7.com.

Di Kedah, PH mempunyai 19 kerusi termasuk daripada seorang wakil rakyat UMNO yang melompat parti.

Enam daripada 19 kerusi tersebut ialah milik Bersatu, penarikan diri parti itu daripada PH semalam menyaksikan PKR, Amanah, dan DAP kini hanya memiliki 13 kerusi.

Gabungan pembangkang pula mempunyai kelebihan I7 kerusi dengan 15 daripanya “solid” milik PAS.

Jumlah di kem PAS dan UMNO diramal bertambah kukuh dengan kemasukan Bersatu termasuk beberapa wakil rakyat daripada PKR.

Dalam pada itu difahamkan, konsesi itu bermula pada 1990 melalui perjanjian penswastaan dan akan berakhir Oktober 2020.

Dalam 10 tahun terakhir, kerajaan negeri dilaporkan membelanjakan RM140 juta setahun daripada pendapatan kepada syarikat konsesi, sedangkan beban itu dapat dikurangkan jika operasi dilakukan sendiri oleh SADA.

Tanpa perjanjian dengan mana-mana syarikat konsesi, SADA dijangka dapat melakukan penjimatan sekaligus memberikan kelebihan kepada syarikat itu sendiri termasuk pengguna.

Di bawah pemerintahan PH, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak menyambung konsesi kepada dua syarikat berkenaan sebaliknya  akan membuka kontrak baru kepada sesiapa yang mampu memberikan tawaran terbaik dalam aspek pengurusan air.

Kenyataan itu dinyatakan Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Zamri Yusof seperti disiarkan media pada 2I Januari lalu.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.