Jabatan Alam Sekitar tumpaskan cubaan import Buangan elektrik dan elektronik secara haram ke Malaysia

1 JULAI 2020 KLANG – Susulan notifikasi daripada Basel Action Network (BAN) pada 06 Jun 2020, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mendapat kerjasama Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM) untuk menahan satu (1) unit kontena mengandungi buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Jun 2020 dengan kapal IBN Al Abbar.

Pemeriksaan pada 18 Jun 2020 mengesahkan kontena tersebut mengandungi e-waste sebagaimana dilaporkan.

Siasatan JAS turut mendapati consignee (syarikat pengimport) yang sama telah mengimport tiga (3) unit kontena e-waste dari Amerika Syarikat iaitu pada 16 April, 14 Mei dan 3 Jun 2020.

Ketiga-tiga unit kontena ini juga telah ditahan oleh JKDRM.

E-waste diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya (hazardous waste) di bawah Konvensyen Basel dand sebagai buangan terjadual kod SW 110 di bawah Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan polisi semasa melarang sama sekali pengimportan buangan terjadual seperti e-waste ke Malaysia.

JAS telah mengarahkan semua kontena dihantar pulang ke negara asal.

Sehingga 26 Jun 2020, sebanyak dua (2) daripada empat (4) kontena tersebut telah berjaya dihantar pulang.

Notis telah dikeluarkan kepada pemilik syarikat serta dua (2) syarikat liner (syarikat perkapalan) yang bertanggungjawab membawa masuk kontena-kontena berkenaan.

Pemeriksaan di alamat premis consignee mendapati syarikat tersebut tidak menduduki alamat pejabat seperti yang dinyatakan.

Namun pemilik syarikat terbabit berjaya dikesan berdasarkan maklumat- maklumat dalam dokumen pengimportan sebelumnya.

Pengimportan keempat-empat kontena ini didapati dilakukan tanpa mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa  Konvensyen Basel di Malaysia iaitu JAS.

Pihak Competent Authority di Amerika Syarikat juga telah dimaklumkan mengenai pengimportan haram ini walaupun negara berkenaan bukan party kepada Konvensyen Basel.

Kes ini merupakan salah satu dari 23 kes pengimporan haram buangan terjadual yang berjaya dikesan dan dipatahkan oleh JAS dengan kerjasama JKDRM dan pihak berkuasa pelabuhan bagi tempoh 1 Januari –26 Jun 2020.

Sehubunganitu, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ingin menegaskan bahawa pengimportan apa-apa buangan terjadual memerlukan kelulusan dari JAS yang merupakan agensi bertanggungjawab dalam mengawal pengimportan dan pengeksportan buangan yang diklasifikasi sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan buangan terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara mandatori maksimum 5 tahun dan denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan selaras peruntukan Seksyen 34B Akta KualitiAlam Sekeliling 1974.

Sebarang pergerakan merentasi sempadan buangan terjadual hendaklah juga memenuhi sepenuhnya prosedur yang ditetapkan di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentasi Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya.

KASA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi pemprosesan dan pelupusan buangan terjadual dari negara luar tanpa sebarang kebenaran.

Penguatkuasaan tegas akan diteruskan terhadap mana-mana syarikat yang didapati menjalankan pengimportan buangan terjadual secara haram ke Malaysia termasuk mengenalpasti dalang dan premis-premis yang digunakan bagi memproses bahan-bahan yang diimport tersebut.

Konvensyen Basel merupakan satu perjanjian antarabangsa yang mengawal pergerakan merentasi sempadan buangan berbahaya melalui prinsip Prior Informed Consent (PIC), yang mana negara pengeksport hendaklah mengemukakan notifikasi kepada negara pengimport dan mendapat kebenaran bertulis dari negara pengimport terlebih dahulu sebelum sebarang pergerakan merentasi sempadan dilaksanakan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.