NGO cadang Mukhriz ceburi perniagaan, lupakan dunia politik

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Tiada apa lagi yang perlu dipertahankan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas hilang kepercayaan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk enam rakan sendiri.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, kenyataan Mukhriz bahawa beliau masih menjadi Menteri Besar yang sah tidak membawa sebarang makna.

“Kamu sebelum ini mempunyai 19 kerusi. Tapi kini sudah berkurangan separuh. Bagaimana kamu mahu menjadi Menteri Besar dengan 13 kerusi?

“Mukhriz perlu terima hakikat. Inilah asam garam politik. Ada kalanya kita di atas, ada di bawah. Tidak semestinya politik adalah perjuangan sebenar hidup kita,”katanya hari ini.

Mustaffa berkata, beliau sebenarnya amat bersimpati dengan nasib menimpa Mukhriz, namun demi memastikan PH yang didokongi DAP lemah, beliau bersetuju Menteri Besar itu digantikan.

“Siapa tak simpati? sudah dua kali beliau tidak berjaya menamatkan kariernya sebagai Menteri Besar.

“Ini akan terpahat dalam sejarah arena politik negara. Sepatutnya dari awal Mukhriz mengikut arus sokongan orang Melayu, semua itu bagaimanapun sudah terlambat,”katanya.

Mukhriz berkata, beliau melihat Mukhriz lebih layak menceburi dunia perniagaan dan meninggalkan politik.

“Ayahnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada mengatakan orang Melayu mudah lupa, pemalas, dan perlu menggunakan tongkat sendiri tanpa mengharapkan kerajaan.

“Inilah masanya Mukhriz membuktikan semua itu,”katanya.

Hari ini Mukhriz berkata, beliau masih Menteri Besar Kedah yang sah dan kerajaan negeri beroperasi seperti biasa.

Komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ialah PAS mempunyai I5 kerusi, PKR (7), Bersatu (6) Amanah (4), UMNO (2) dan DAP (2).

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.