ALOR SETAR- Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus menyatakan sokongan penuh terhadap titah Sultan Pahang berhubung keperluan mengimbangi prinsip kemanusiaan dengan kedaulatan negara seperi dilaporkan media.
Beliau berkata titah Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu mencerminkan kebijaksanaan seorang Raja yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta mempertahankan kedaulatan negara.
Menurut beliau, kenyataan baginda bahawa prinsip ihsan perlu dipelihara tanpa mengabaikan undang-undang dan keselamatan negara adalah suatu pendirian yang tepat serta berlandaskan ajaran Islam.
“Seperti yang dilaporkan media, baginda menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
“Namun pada masa yang sama, rahmah yang dianjurkan agama tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kedaulatan negara atau melangkaui batas yang ditetapkan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata PAMM Kedah berpandangan bahawa setiap dasar berkaitan kemasukan warga asing atau golongan yang memerlukan perlindungan perlu dilaksanakan secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang negara.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan keselamatan, keharmonian sosial dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Menurut beliau, rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat prihatin dan pemurah, namun keutamaan terhadap kepentingan negara tidak boleh diketepikan.
“Nilai kemanusiaan dan keselamatan negara bukanlah dua perkara yang bertentangan. Kedua-duanya boleh dilaksanakan secara seimbang melalui dasar yang jelas dan penguatkuasaan yang berkesan,” katanya.
Beliau turut menyokong seruan supaya pihak berkuasa bertindak tegas, bijaksana dan berhemah dalam menguruskan isu-isu berkaitan.
Tambahnya, sebarang keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan jangka panjang negara serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau lagi, titah Sultan Pahang wajar dijadikan panduan oleh semua pihak dalam membincangkan isu-isu sensitif yang menyentuh soal kemanusiaan dan keselamatan negara.
Sehubungan itu, PAMM Kedah menyeru rakyat agar terus menghormati undang-undang, mengelakkan polemik yang tidak sihat serta memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.
“PAMM Kedah berdiri teguh menyokong titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang kerana ia menzahirkan keseimbangan antara tuntutan kemanusiaan, kepatuhan kepada undang-undang dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply