Titah Sultan Pahang Mencerminkan Kebimbangan Serius – PAMM

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR: Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Kedah (PAMM), Dato’ Dr Mustaffa Idrus menyatakan sokongan penuh terhadap titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan rasa dukacita serta kekesalan terhadap insiden menghina agama yang berlaku di negara ini.

Menurut beliau, kenyataan tegas yang dizahirkan oleh Sultan Pahang itu mencerminkan kebimbangan serius terhadap tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian masyarakat di Malaysia yang selama ini hidup dalam suasana aman dan saling menghormati antara agama.

Beliau berkata, isu terbaru melibatkan seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang didakwa memijak senaskhah Al-Quran bukan sahaja menyinggung perasaan umat Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat jika tidak ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa.

“Perbuatan menghina kitab suci umat Islam adalah satu tindakan yang sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh sensitiviti agama serta maruah umat Islam di negara ini.

“Sehubungan itu, PAMM Kedah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dan tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam perbuatan menghina agama,”katanya Kepada media hari ini.

Katanya, sekiranya perkara seperti ini terus dibiarkan atau hanya dikenakan tindakan ringan, ia dikhuatiri akan membuka ruang kepada lebih banyak tindakan provokasi yang boleh menjejaskan keamanan negara.

Beliau turut menegaskan bahawa hukuman yang dikenakan tidak seharusnya sekadar berbentuk denda atau penjara semata-mata, sebaliknya perlu diperketatkan agar menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak berani melakukan perkara yang sama.

“Saya berpendapat kerajaan wajar mempertimbangkan hukuman lebih berat termasuk cadangan melucutkan kewarganegaraan individu yang didapati sengaja melakukan penghinaan terhadap kitab suci agama.

“Langkah tegas seperti itu penting bagi menunjukkan bahawa negara ini tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang mencetuskan kebencian agama atau merosakkan keharmonian masyarakat,”katanya.

Tambah beliau lagi, PAMM Kedah berharap semua pihak mengambil iktibar daripada insiden ini dan sentiasa memelihara sensitiviti agama serta menghormati kepercayaan antara satu sama lain demi memastikan keamanan dan perpaduan negara terus terpelihara.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.