Gabungan GRS- Warisan Lebih Stabil Dan Selamat

Dato' Dr Mustafa Idrus

ALOR SETAR-Timbalan Pengerusi Warisan Negeri Kedah, Dato’ Mustafa Idrus, menyatakan pandangannya bahawa masa depan politik Sabah boleh dilonjakkan ke tahap lebih stabil dan matang sekiranya wujud perkongsian kuasa antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah terbaik demi kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.

“Cadangan tersebut lahir daripada pemerhatian terhadap kehendak rakyat Sabah yang mahu melihat politik negeri kembali dipimpin oleh parti-parti tempatan yang memahami budaya, keutamaan dan cita rasa masyarakat setempat.

“GRS dan Warisan mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh digabungkan menjadi satu blok politik yang ampuh,”katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Dato’ Dr Mustafa menegaskan bahawa dua parti itu tidak harus melihat satu sama lain sebagai pesaing semata-mata, sebaliknya sebagai rakan pembina negeri.

“Jika persefahaman politik dapat dicapai, ia akan membuka ruang kepada pentadbiran yang lebih kukuh dan mesra rakyat,”katanya.

Tambahnya lagi, kepimpinan tertinggi GRS dan Warisan perlu berjiwa besar dan tidak terikat kepada sentimen lama.

Beliau menekankan bahawa rakyat Sabah sentiasa mengharapkan pemimpin yang matang, rasional dan sanggup berkorban demi kepentingan bersama, bukannya demi keuntungan politik jangka pendek.

Dalam kenyataannya, beliau turut menolak persepsi bahawa kerjasama dua parti itu akan melemahkan identiti masing-masing.

“Sebaliknya, ia akan memperkukuhkan suara Sabah dan memberi peluang kepada negeri itu mengurus agenda pembangunan tanpa terlalu bergantung kepada permainan politik di peringkat pusat,”katanya.

Dato’ Mustafa berkata, perkongsian kuasa ini akan membolehkan kedua-dua parti menyusun pembangunan secara lebih tersusun, termasuk soal ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan serta pengagihan sumber negeri yang lebih telus dan seimbang.

“Kerjasama itu akhirnya akan menguntungkan rakyat, kerana setiap dasar dan keputusan tidak lagi terhasil daripada pertembungan politik, sebaliknya melalui permuafakatan antara dua kuasa utama Sabah,”katanya.

Menurutnya, Sabah tidak boleh terus dibebani dengan pertelagahan politik yang berpanjangan kerana ia hanya menyukarkan proses pembangunan.

Oleh itu, segala usaha memperkukuhkan perpaduan politik wajar diberi ruang, termasuk cadangan kerjasama GRS–Warisan.

Dato’ Mustafa menggesa agar kedua-dua presiden parti duduk semeja dan menilai secara serius sentimen rakyat yang semakin menginginkan kestabilan politik. Katanya, mandat yang diberikan oleh rakyat harus dihormati dan ditafsirkan sebagai isyarat jelas bahawa mereka mahu perubahan lebih positif.

“Saya berkeyakinan penuh bahawa gabungan GRS–Warisan, jika berjaya direalisasikan, mampu menjadi blok politik paling berpengaruh di Sabah, sekaligus membawa negeri itu ke arah masa depan yang lebih cerah, harmoni dan sejahtera,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.