PAMM Tuntut URA 2025 Ditolak, Tidak Untungkan Rakyat

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR – Pertubuhan Angkatan Masyarakat (PAMM) Negeri Kedah menyuarakan bantahan keras terhadap Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (RUU URA) 2025 yang bakal dibentangkan di Parlimen Oktober depan.

Pengerusinya, Dato’ Mustaffa Idrus, berkata rang undang-undang itu memberi kuasa yang terlalu luas kepada kerajaan dan pemaju sehingga menjejaskan hak asas rakyat terhadap tanah, rumah dan warisan keluarga.

“RUU ini membuka ruang kepada pemaju untuk mengambil alih rumah rakyat secara paksa.

“Contohnya, rumah berusia lebih 30 tahun boleh dilucutkan walaupun pemilik tidak bersetuju, sekiranya 75 peratus jiran bersetuju menjual. Ini jelas menafikan hak individu dan membuka ruang penindasan atas nama majoriti,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan klausa yang membenarkan kerajaan mengisytiharkan mana-mana kawasan melibatkan bukan sahaja bandar, malah kampung termasuk tanah rezab Melayu sebagai ‘kawasan pembaharuan’ tanpa proses timbang tara yang bebas dan telus.

“Rakyat berisiko hilang hak pemilikan sendiri. Tanah yang diwarisi turun-temurun boleh diambil begitu sahaja, tanpa ada mekanisme rayuan bebas untuk melawan keputusan tersebut,” katanya yang menuntut RUU URA 2025 ditolak pada sidang akan datang.

Dato’ Mustaffa menambah, aspek pampasan juga sangat membimbangkan kerana tiada jaminan bayaran akan dibuat mengikut harga pasaran atau rumah gantian setara dalam kawasan sama.

“Apabila pampasan tidak adil, rakyat bukan sahaja kehilangan rumah tetapi juga akan kehilangan akses kekal kepada bandar atau kampung mereka. Ini boleh memutuskan ikatan sosial dan warisan keluarga yang sudah terbina sejak generasi terdahulu,” jelasnya.

PAMM Kedah juga menegaskan bahawa pelantikan pemaju “layak” sepenuhnya ditentukan oleh jawatankuasa tanpa jaminan tender terbuka.

Hal ini menurut beliau, membuka ruang besar kepada pilih kasih, monopoli, dan kepentingan tertentu.

“Lebih merisaukan, pegawai URA diberikan imuniti undang-undang apabila bertindak atas kapasiti rasmi. Walaupun tindakan mereka menjejaskan rakyat, mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi. Ini menjadikan hak rakyat untuk menuntut ganti rugi hampir mustahil,” ujarnya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.