KKM sah kes koronavirus keempat babit pelancong China

KUALA LUMPUR-Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kes baru yang disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus.

KKM dalam satu kenyataan terbaru berkata, kes itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga kes positif yang telah dilaporkan pada awal hari ini.

“Kes terbaru ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China.

“Lelaki itu tiba di Johor Bahru pada 22 Januari 2020 dengan menaiki bas dari Singapura bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.

“Dia mula mengalami gejala demam pada 23 Januari 2020 dan keesokan harinya telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran,”katanya.

Kata kenyataan itu, individu terbabit telah dirujuk oleh pihak hospital swasta tersebut untuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Pada petang 25 Januari 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif koronavirus.

“Pada ketika ini lelaki tersebut masih demam dan batuk, namun berada dalam keadaan stabil,”katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah mengesan kesemua 17 individu daripada kumpulan pelancong yang sama yang disertai oleh lelaki terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka

“Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.

“Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan koronavirus di MKAK Sungai Buloh.

“Kesemua individu tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka,”katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga lelaki warga China yang tiba di negara ini disahkan positif koronavirus.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.