ALOR SETAR -Buku yang didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus, ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ dijual secara meluas di media sosial.
Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, PAMM menerima aduan berhubung penjualan buku itu di media sosial antaranya menggunakan Facebook dan Tiktok.
“PAMM memandang serius penjualan buku ini secara meluas di media sosial. Jika tidak dibenteras dibimbangi boleh melacurkan akidah umat Islam.
“Kandungan buku itu mengundang keresahan ramai dan tidak wajar dijual, apatah lagi Mahkamah Tinggi pada 23 Disember lalu telah menolak saman difailkan Hannah terhadap kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendedahkan usaha Hannah mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian,”katanya.
Hannah yang bimbang dengan pendedahan Musa memfailkan saman pada 30 Januari 2020 terhadap bekas Ketua Polis Negara itu.
Dalam sebuah forum di UITM, Hannah mendakwa Musa menuduhnya menulis Buku ‘Becoming Hannah’ untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia selain mengutamakan kepentingan peribadi berbanding negara.
Mustaffa berkata, penjualan buku itu sebelum saman Hannah ditolak mungkin boleh diterima di peringkat awal, tetapi apabila sudah dibuktikan ada unsur penyebaran Kristian seperti didedahkan, buku itu wajib disekat penjualannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Masalahnya KDN bukan saja tidak menyekat penjualan buku itu bahkan tidak mengharamkan penerbitannya.
“Sepatutnya tindakan undang-undang sudah boleh dimulakan kepada Hannah dan penerbit buku itu. Sikap sambil lewa KDN sungguh mengecewakan,”katanya.
Mustaffa berkata, sebarang agenda menyebarkan Kristian di negara umat Islam berdaulat Malaysia ini wajib ditentang.
“Kita tidak mahu unsur-unsur Kristianisasi melalui apa saja kaedah menyerap dalam pelbagai saluran bagi menyesatkan umat Islam.
“Justeru semua pihak termasuk NGO dan ibu-bapa perlu menggembleng tenaga dan peranan menyekat sebarang usaha mengkristiankan umat Islam Malaysia,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply