200 tentera Thailand dikerah buru suspek serangan

PATANI– Tentera Thailand hari ini mengerahkan 200 tentera memburu suspek terlibat serangan di pos kawalan keselamatan di Yala pada 5 November lalu di enam lokasi.

Media antabangsa melaporkan operasi berkenaan (9 November) dilancarkan di lokasi “mencurigakan” iaitu di daerah Khokpho, sempadan daerah Mueang dan wilayah Yala.

Dalam operasi itu, tentera menahan enam individu disyaki selain merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.

Penahanan terbaru itu menjadikan sembilan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan. Sebelum ini, tentera telah melakukan operasi di 13 lokasi berbeza dalam wilayah Yala.

Pihak tentera melakukan pencarian di salah satu lokasi

Komandan Jabatan Polis Pattani, Jeneral Jirawat Phayungtham berkata, berdasarkan maklumat diterima, terdapat suspek yang cedera dan bersembunyi di kawasan sasaran yang dicari.

Menurutnya, pihaknya juga telah membuka satu pelan tindakan bersama untuk penguatkuasaan undang-undang.

“Langkah ini mengikut dasar Leftenan Jeneral Pornsak Poonsawad, Jeneral penglima wilayah ke-4 Thailand, bagi mempercepat penangkapan suspek yang melakukan jenayah tersebut.

“Operasi ini masih berterusan. Jeneral Penglima Wilayah ke-4 telah memerintahkan untuk memburu penjenayah untuk mendakwa,”katanya.

Berdasarkan rekod jaringan Mangsa dari Undang-Undang Darurat (JASAD), seramai 12,930 penduduk telah ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand sejak penggubalan Undang-undang Martial pada tahun 2004.

Manakala sejak Januari 2019 sehingga Oktober, terdapat 123 penduduk yang ditahan di wilayah Patani dan Songkhla dengan empat daripadanya adalah wanita.

Daripada jumlah ini, rekod JASAD menunjukkan seramai 77 orang berjaya dibebaskan dan 46 yang lain terus berda dalam tahanan.

“Tentera Thailand tidak pernah memberikan penjelasan terperinci tentang mengapa mereka ditangkap,” kata ketua JASAD, Ngoh kepada Anadolu Agency.

Serangan 5 November di dua pos kawalan keselamatan iaitu di Mukim Lampaya dan Kampung Thung Sadao yang dipisahkan jarak tiga kilometer diserang mengakibatkan 15 terbunuh dan lima cedera.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.