Tiada keperluan pembangkang bertanding di Tanjung Piai- Mahfuz

KUALA LUMPUR- Tiada keperluan pakatan pembangkang meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor pada 16 November depan.

Datuk Mahfuz Omar berkata, hal ini kerana Pas dan sebahagian pemimpin Umno telah menyatakan pendirian supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir negara hingga tamat penggal ini.

“Ini bermakna Pas sudah tentu tidak ada tujuan untuk turun berkempen pada PRK akan datang ini,”katanya dalam rakaman video yang dipaparkan di Facebook Mahfuz Omar, semalam.

Beliau berkata, sekiranya Pas turun bertanding ia bertentangan dengan hasrat parti itu melihat Dr Mahathir tidak diganggu- gugat untuk terus memimpin negara.

“Ini menjadikan Umno sendiri, BN tidak ada kekuatan tanpa sokongan petugas-petugas kempen daripada Pas.

“Umno sendiri berpecah dalam soal ini, sebab itu saya lihat MCA mahupun GERAKAN tidak ada keperluan meletakkan calon mereka kerana tidak akan didokong parti pembangkang yang lain,”katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, situati sedang berlaku itu memungkinkan parti daripada PH yang diwakili Bersatu akan diisytiharkan menang tanpa bertanding.

PRK Tanjung Piai akan diadakan ekoran penyandang kerusi Parlimen itu, Dr Md Farid Md Tarik,42, meninggal dunia di Hospital Pontian pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Allahyarham merupakan Timbalan Bersatu Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi itu pada PRU14 menewaskan calon BN dan Pas dengan majoriti 524 undi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.