Penjenayah Filipina tewas di tangan pasukan khas ESSCOM

Kegiatan tiga penjenayah Filipina ini ditumpaskan pasukan keselamatan negara

SEMPORNA– Kegiatan kes curi dan rompak yang sebelum ini berleluasa di kawasan perairan Inderasabah, Tawau sejak kebelakangan ini akhirnya ditumpaskan.

Ia selepas pasukan khas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan kerjasama Pasukan Polis Marin menangkap tiga lelaki Filipina yang mendalangi aktiviti itu.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, tiga suspek berkenaan telah ditahan secara berasingan di dua buah rumah tidak bernombor dalam operasi diadakan Jumaat dan semalam (Sabtu).

Menurutnya, serbuan pertama dibuat di pondohan kawasan laut pulau Nusa tengah dan lokasi kedua di pondohan pulau Omadal.

“Tiga lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota ‘pasukan khas’ yang ditubuhkan ESSCOM dalam menyelesaikan kes-kes samun dan curi di perairan Indersabah, Tawau dan Semporna baru-baru ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 9.30 malam pada jumaat lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat kes rompakan, sepasukan anggota pasukan khas diketuai oleh seorang anggota ESSCOM telah melakukan serbuan dan pemeriksaan di lokasi terbabit.

“Dalam serbuan berkenaan, kelihatan dua lelaki cuba untuk melarikan diri. Semasa ditahan, suspek bernama Batu bin Logod bertindak agresif dan akibat daripada pergelutan tersebut, suspek telah mengalami kecederaan di mata kiri.

“Pemeriksaan lanjut terhadap rumah suspek, pasukan kita telah menemui sepucuk pistol bersama peluru hidup tersimpan dalam beg silang berwarna maroon yang tersiman di atas lantai rumah suspek,”katanya.

Penangkapan ketiga -tiga suspek membawa kepada rampasan sepucuk pistol jenis Colt .45 dan 25 peluru.

Polis turut menyita sebilah parang, sebuah enjin sangkut, 30 hp, telefon bimbit, dan sebuah beg silang.

Kesemua rampasan bernilai RM 12,700.

Ahmad Fuad berkata, seterusnya serbuan kedua dibuat pada keesokkan harinya. (Sabtu).

“Setelah memperkenalkan diri sebagai anggota keselamatan, seorang lelaki tiba-tiba bertindak cuba melarikan diri.”

“Apabila lelaki tersebut cuba ditahan, lelaki tersebut bertindak agresif namun berjaya ditahan setelah berlaku sedikit pergelutan dengan suspek.

“Kesemua suspek adalah warga asing filipina yang berumur antara 20 -50 tahun yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan rompak di perairan Inderasabah, Tawau beberapa hari lalu.”katanya.

Beliau berkata, pihak ESSCOM percaya penahanan tiga lelaki terbabit telah menyelesaikan empat kes rompakan dan samun bersenjata yang berlaku di perairan Tawau dan Kunak.

“Ia melibatkan 3 kes di perairan Inderasabah, Tawau dan 1 kes di perairan Kunak.

“Kesemua suspek telah diserahkan kepada ibu pejabat Polis tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 395/397 (KK) samun berkawan bersenjata,” katanya.

Beliau berkata dengan kejayaan ini, ESSCOM sentiasa komited untuk sentiasa memastikan perairan ESSZONE akan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.