JPA Tubuh Pusat Panggilan Setempat SSPA Untuk Memberi Jawapan Tepat Dan Elak Salah Faham

PUTRAJAYA, 12 November 2024 – Pada hari ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melancarkan Pusat Panggilan Setempat SSPA yang boleh dihubungi melalui talian 03-8885 3380.

Saluran tambahan ini beroperasi dari Isnin hingga Jumaat (kecuali Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am) pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, bagi membantu Pegawai Awam mendapatkan penjelasan berkaitan sebarang persoalan atau kekeliruan mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu diperkenalkan.

Majlis perasmian Pusat Panggilan Setempat ini disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Penubuhannya bertujuan untuk meningkatkan lagi akses kepada maklumat yang tepat serta memberikan penjelasan menyeluruh mengenai sistem saraan tersebut.

Inisiatif ini adalah saluran tambahan selain portal rasmi www.sspa.gov.my, untuk memudahkan semua Pegawai Awam Persekutuan dan Negeri mendapatkan penjelasan yang jelas, cepat dan tepat.

Sejak pengenalan SSPA melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 2024 pada 13 September 2024, sebanyak 54 sesi Libat Urus SSPA (SLU) telah dilaksanakan untuk memberikan penerangan mengenai sistem saraan yang baharu.

Walaupun antara hasrat utama SSPA adalah untuk memberi manfaat kepada Pegawai Awam, beberapa salah faham dan persepsi yang tidak tepat masih berlegar, yang boleh menjejaskan pelaksanaannya.

Oleh itu, Pusat Panggilan Setempat SSPA ini bertujuan untuk memperjelaskan segala persoalan dan memastikan semua pihak memahami sepenuhnya tujuan dan manfaat sistem saraan ini.

Pengenalan SSPA adalah sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang lebih besar,yang bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan awam disamping dapat membantu mengurangkan kos sara hidup bagi Pegawai Awam.

Sistem ini juga dibangunkan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan efisiensi sektor awam, selaras dengan dasar Malaysia MADANI.

Untuk memastikan sokongan yang berkesan, Pusat Panggilan Setempat ini akan dikendalikan oleh 20 orang pegawai yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Kajian SSPA.

Para pegawai ini terlibat secara langsung serta mempunyai pengetahuan mendalam mengenai sistem SSPA dan bersedia memberikan penjelasan terperinci untuk menyelesaikan sebarang kekeliruan yang timbul.

Inisiatif ini adalah bukti komitmen JPA dalam memastikan Pegawai Awam dilengkapi dengan pemahaman yang jelas dan tepat mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), sekaligus menyokong inisiati ftransformasi perkhidmatan awam di Malaysia.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.