ALOR SETAR-Gesaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank supaya Paynet memansuhkan caj RM1.00 bagi pengeluaran wang melalui ATM sangat disokong dan perlu dilaksanakan.
Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pihak bank sudah lama menikmati keuntingan hasil caj RM 1.00 yang dikenakan kepada pengguna selama ini.
“PAMM menyokong penuh gesaan untuk memansuhkan caj berkenaan. Bank perlu berhenti membebankan rakyat.
“Amalan sistem lapok dari barat yang membebankan seluruh rakyat ini wajib dihapuskan segera. Paling terkesan adalah golongan miskin dan sederhana.
Beliau berkata, bank yang sudah lama menekan rakyat dengan amalan riba dan pelbagai keuntungan lain sebenarnya tidak perlu mengenakan caj tambahan untuk pengeluaran wang.
“Caj ini untuk apa sebenarnya? Pengeluaran wang bukannya menggunakan tenaga manusia yang perlu dibayar upah tetapi dikendalikan oleh mesin.
“Segalanya atas teknikal saja. Pengeluaran wang menggunakan mesin ATM berlainan dari bank simpanan tidak sepatutnya dikenakan caj.
“Tetapi disebabkan amalan ini amalan kapitalis berkonsepkan kaya terus kaya dan miskin terus miskin, maka sistem ini terus dilaksanakan dan tidak diperdulikan banyak pihak termasuk oleh kerajaan.
“Soalnya ke mana wang caj ini pergi? Atas alasan apa dikenakan? Dan siapa yang menikmatinya? Saya sangat berharap kerajaan dibawah Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti perkara ini dan memansuhkan caj tidak wajar yang dibebankan kepada rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi,”katanya.
Terdahulu, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) menggesa PayNet memansuhkan caj RM1.00 dan ia disokong oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Industri Minuman (NUDIW).
RENTAS7
Leave a Reply