Sempena Hari Korban, Korbankanlah Kepentingan Untuk Penyatuan Melayu Islam

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR- Ibadah korban bukan amalan menyembelih haiwan pada Hari Raya Aidiladha semata-mata, tetapi membawa pengertian besar tentang nilai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan dalam kehidupan umat Islam.

Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus berkata, semangat korban perlu dihayati secara menyeluruh dan tidak terbatas kepada ibadah semata-mata.

Menurut beliau, masyarakat Melayu Islam hari ini memerlukan satu bentuk penyatuan yang lahir daripada semangat pengorbanan demi agama, bangsa dan masa depan generasi akan datang.

Katanya, umat Islam perlu bersedia mengorbankan sifat pentingkan diri, ego, permusuhan dan sikap terlalu mengejar kepentingan dunia sehingga mengabaikan kepentingan masyarakat secara keseluruhan.

“Ibadah korban mendidik manusia supaya meletakkan kepentingan agama dan ummah melebihi kepentingan peribadi serta habuan sementara dunia,” katanya dalam satu kenyataan sempena Aidiladha.

Beliau berkata, perpecahan dalam masyarakat Melayu Islam hanya akan melemahkan kekuatan umat dan membuka ruang kepada pelbagai ancaman sosial serta krisis nilai dalam masyarakat.

Menurutnya lagi, semangat Aidiladha sewajarnya menjadi titik penyatuan yang menghubungkan kembali ukhuwah dan rasa kasih sayang sesama manusia tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

Tambah beliau, pengagihan daging korban juga membawa simbol kebersamaan dan keprihatinan Islam terhadap golongan miskin, warga emas serta mereka yang memerlukan bantuan.

Katanya, budaya saling membantu dan berkongsi rezeki yang ditunjukkan melalui ibadah korban perlu terus diperkasakan dalam kehidupan masyarakat moden hari ini.

Beliau turut menyeru generasi muda agar memahami bahawa pengorbanan merupakan asas kepada pembinaan tamadun, kekuatan bangsa dan kestabilan sesebuah masyarakat.

Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat Melayu Islam tidak terlalu terpengaruh dengan budaya individualistik dan materialistik yang semakin menjarakkan hubungan sesama manusia.

Beliau menegaskan bahawa semangat korban yang sebenar ialah apabila manusia sanggup mengetepikan kepentingan diri demi perpaduan, keamanan dan kesejahteraan umat secara keseluruhannya.

 

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.