KUALA LUMPUR– Sebatan di khalayak ramai dilaksanakan Terengganu tidak sepatutnya dipertikai atau dipersoalkan apatah lagi dari golongan agamawan kerana tindakan itu hanya merugikan ummah.
Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, beliau sedih apabila isu ini dipolemik oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Maza).
“Apabila membaca kenyataan Maza dalam isu ini, bagi saya ia sangat menyedihkan kerana ia keluar dari mulut seorang mufti.
“Maza sepatutnya berlapang dada dengan apa dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu bukannya berbeza pandangan yang memberikan kerugian kepada umat Islam,”katanya.
Beliau berkata, sebatan di khalayak yang dilaksanakan Terengganu menepati hukum-hukum syarak.
“Malah secara psikologinya, hukuman depan khalayak ramai ini dapat meningkatkan kesedaran ramai dan memberikan keinsafan tinggi kepada pesalah tentang betapa pentingnya menjauhi perkara mungkar dan mentaati perintah Allah.
“Tindakan selari dengan maqasid syariah. Malah pesalah dalam kes ini juga tidak dirotan teruk seperti mana pesalah sivil yang kebiasaannya akan mengalami kecederaan,”katanya.
Sebelum ini Maza dalam laporan media menyebut merotan di khalayak ramai atas kesalahan khalwat hanyalah pilihan penguasa dan siapa yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman itu tidak boleh dikategori sebagai tidak setuju dengan Islam.
Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganuz Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman rotan depan khalayak ramai selepas tukang rumah, Mohd Affendi Awang,42, mengaku melakukan kesalahan khalwat buat kali ketiga.
Mustaffa berkata, Mufti Perlis sebetulnya perlu lebih tegas dalam isu-isu melibatkan ancaman akidah umat Islam negara ini dan bukan berbeza pandangan dalam perkara yang memberikan manfaat kepada kaum muslimin.
“Entah apa yang dicari oleh Maza? PAMM menuntut Mufti Perlis itu muhasabah diri supaya tidak menimbulkan sesuatu yang tidak penting dan tidak menguntungkan umat Islam,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply