KDN siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

KDN siapsiaga sejumlah 66,042 anggota dan 10,540 aset PDRM, RELA dan APMM yang bersedia diatur gerak di seluruh negara bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), dijangka bermula awal bulan November 2024

KUALA LUMPUR– Kementerian Dalam Negeri telah siap siaga sejumlah 66,042 anggota dan 10,540 aset PDRM, RELA dan APMM yang bersedia diatur gerak di seluruh negara bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), dijangka bermula awal bulan November 2024.

Fenomena MTL ini biasanya akan membawa hujan lebat beserta angin kencang dan berisiko menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat di kawasan terbabit.

Daripada jumlah tersebut, PDRM akan mengatur gerak sejumlah 17,216 anggota sumber manusia beserta 9,936 aset pelbagai jenis. Manakala RELA pula bersedia dengan sejumlah 47,100 anggota beserta 457 aset dan diikuti dengan APMM seramai 1,726 anggota dan 147 aset bersedia untuk diatur gerak di seluruh negara.

Antara peranan yang akan dilaksanakan oleh anggota ketiga-tiga agensi terbabit termasuklah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di Pusat Pemindahan Sementara, penugasan di Pusat Pangkalan Bekalan Hadapan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dan penugasan pasca bencana banjir.

Selain itu, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yangditetapkan dalam Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

KDN menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, sentiasa berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara yang tidak diigini berlaku.

Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsamangsa banjir.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan. Untuk laporan terkini dan sahih berkaitan bencana, orang ramai boleh layari: www.portalbencana.nadma.gov.my.

 

RENTAS7

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.