KUALA LUMPUR– Indonesia terpaksa menunggu hingga minit ke-75 sebelum jaringan tunggal kapten pasukan, Asnawi Mangkualam memisahkan kedudukan Indonesia dengan Myanmar.
Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan.
Indonesia yang turun dalam misi merampas gelaran juara Piala Asean 2024 buat kali pertama bergelut untuk menundukkan tuan rumah dalam perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Thuwunna malam tadi.
Tanpa mengirimkan pemain warisan dari Belanda, Indonesia tetap diperkuatkan dengan ramai pemain berpengalaman mereka.
Pratama Arhan, Asnawi Mangkualam, Ronaldo Kwateh, Marselino Ferdinan dan Rafael Struick yang menjadi tonggak utama Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia 2026, memperkasakan Indonesia dalam saingan Piala Asean kali ini.
Setelah masing-masing selesai satu perlawanan, Indonesia dilihat lawan yang boleh disaingi Malaysia sekiranya kedua-dua pasukan bertemu, selepas mengambil kira aksi kedua-dua pasukan pada laga pertama.
Malaysia dan Indonesia mempunyai corak permainan agak mirip di bahagian serangan dan kelajuan kedua-dua pasukan tidak jauh beza.
Kedua-dua pasukan yang tidak menghantar pasukan utama masih bergantung dengan hantaran bola lambung ketika menekan lawan dalam kotak penalti.
Dalam masa sama, kedua-dua pasukan mempunyai visi dan misi dalam membentuk gerakan berbahaya, bagaimanapun keupayaan itu belum benar-benar mengancam selain hanya digerakkan dalam tempoh singkat dan sekali- sekala.
Antara kedua-dua pasukan, Indonesia dilihat lebih yakin ketika menekan lawan dan mengawal permainan berbanding Malaysia yang masih kurang dalam aspek kawalan bola.
Begitu juga dengan barisan pertahanan Indonesia yang lebih bersistem berbanding Malaysia.
Secara realistik, keupayaan Malaysia dan Indonesia hampir sama dalam kejohanan Piala Asean 2024 dengan pasukan lebih bijak menghidu peluang bakal menjadi pemenang sekiranya kedua-dua pasukan bertemu.
Lumayan untuk Malaysia dan Indonesia kerana mempunyai barisan pemain muda berkualiti.
Pendedahan diberikan dalam kejohanan ini sangat penting untuk survival dan peluang mereka mendapat tempat dalam kem utama selepas ini.
Skuad Malaysia yang seri menentang Kemboja 2-2 di tempat lawan dan kemenangan Indonesia 1-0 ke atas Myanmar mungkin bukan gambaran jelas kekuatan kedua-dua, tetapi ia sebenarnya cukup untuk menganalisa potensi dua seteru utama ini.
Malaysia dan Indonesia dijangka menembusi peringkat kumpulan.
RENTAS7/ FOTO: ASEAN FOOTBALL








Leave a Reply