ALOR SETAR -Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menggesa kerajaan membatalkan segera Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) 2025 antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang didakwa berat sebelah serta merugikan kepentingan negara dan rakyat tempatan.
Pengerusinya, Dato’ Mustafa Idrus berpandangan, tindakan Malaysia menandatangani perjanjian itu tanpa melalui proses penelitian mendalam seperti dilakukan oleh negara jiran menunjukkan sikap tergesa-gesa dan kurang berhati-hati dalam melindungi kepentingan ekonomi nasional.
Menurut beliau, banyak klausa dalam ART 2025 dan seperti mana didedahkan oleh pemerhati politik, bekas pemimpin dan pelbagai pihak dilihat memberi kelebihan besar kepada pelabur Amerika Syarikat dan sewajarnya kerajaan terlebih dahulu mendengar suara dan pandangan rakyat sebelum memuktamadkan perkara besar.
“PAMM Kedah menuntut supaya kerajaan membatalkan perjanjian ini serta-merta. Ia tidak memberi keuntungan sebenar kepada Malaysia, perkara ini perlu lebih diperhalusi katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dato’ Mustafa menjelaskan bahawa negara-negara jiran seperti Vietnam dan Thailand masih belum menandatangani ART, sebaliknya hanya membentuk kerangka perundingan awal kerana masing-masing sedang menjalankan kajian mendalam terhadap kesan perjanjian tersebut kepada ekonomi domestik mereka.
Katanya, setakat ini hanya Malaysia dan Kemboja yang telah menandatangani perjanjian penuh dengan Amerika Syarikat, manakala Singapura dan Indonesia belum pun mempunyai kerangka rasmi ART.
“Soalnya, mengapa Malaysia terlalu cepat menandatangani? Negara lain masih berhati-hati, tetapi kita seolah-olah berlumba untuk menjadi yang pertama, walaupun tidak jelas apa faedah sebenar kepada rakyat.
“Seperti didedahkan Dr Mahathir Mohamad ART 2025 juga didakwa membenarkan dasar campur tangan AS kepada banyak industri termasuk pemakanan, pembuatan, pertanian, ketenteraan, dan nadir bumi,”katanya.
Beliau turut mempersoalkan faedah ekonomi yang diwar-warkan kerajaan apabila kadar tarif di bawah ART hanya diturunkan kepada sekitar 19 peratus, iaitu kadar biasa yang turut dinikmati banyak negara membangun lain.
“Kalau hanya setakat penurunan tarif 19 peratus, ia bukan satu kelebihan besar. Negara lain pun dapat kadar sama tanpa perlu menandatangani perjanjian berat sebelah seperti ini,” katanya lagi.
Jelas beliau, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dituntut memberikan penjelasan penuh.
“Kita tidak menolak hubungan dagang dengan mana-mana negara, tetapi biarlah adil dan menguntungkan kedua-dua pihak. Jika perjanjian ini berat sebelah, kerajaan wajib berani membatalkannya demi kepentingan rakyat,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply