“Selagi rakyat berdepan dengan ketidakadilan, erti kemerdekaan masih belum sempurna,”- PAMM

Dato' Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pertubuhan Angkatan Masyarakat (PAMM) Negeri Kedah menegaskan bahawa kemerdekaan negara tidak akan benar-benar bermakna sekiranya kerajaan gagal menangani isu-isu besar yang menyentuh soal keadilan rakyat.

Pengerusinya, Dato’ Mustaffa Idrus, berkata sambutan Hari Kemerdekaan tidak boleh sekadar dilihat sebagai acara tahunan penuh simbolik, sebaliknya perlu dihayati dan diterjemahkan dengan memastikan keadilan ditegakkan kepada seluruh rakyat.

“Kemerdekaan wajib dipertahankan. Ancaman hari ini bukan lagi berbentuk penjajahan fizikal, tetapi dalam bentuk penindasan, salah guna kuasa dan ketidakadilan.

“Selagi rakyat berdepan dengan ketidakadilan, erti kemerdekaan masih belum sempurna,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Kemerdekaan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa isu kematian Allahyarhamah adik Zara Qairina perlu diselesaikan secara telus dan adil bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta institusi keadilan.

“Jika kerajaan gagal, rakyat akan hilang kepercayaan. Kemerdekaan yang kita raikan ini akan menjadi retorik semata-mata tanpa makna,” ujarnya.

Mengulas mengenai tindakan rakyat yang menolak arahan kerajaan supaya memakai baju biru sempena sambutan kemerdekaan, sebaliknya memilih memakai baju hitam sebagai solidariti menuntut keadilan buat Zara, beliau berkata ia adalah mesej jelas yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Dato’ Mustaffa turut memberi amaran bahawa kegagalan kerajaan berlaku adil boleh menimbulkan krisis keyakinan rakyat dan mencetuskan ketegangan sosial.

“Kita tidak mahu melihat berlakunya rusuhan seperti yang berlaku di Indonesia. Apa yang rakyat tuntut hanyalah keadilan, dan keadilan itu mesti diberikan,” katanya.

Beliau menutup kenyataan dengan menyeru semua pihak agar kembali menghayati semangat kemerdekaan yang sebenar iaitu kemerdekaan yang berpaksikan kepada keadilan dan kesejahteraan rakyat.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.