Jangan Sampai Rakyat Hilang Kepercayaan, PAMM sokong penuh titah Sultan Pahang

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Teguran tegas Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap pihak yang “memakai seragam”, memegang kuasa serta membawa nama institusi tetapi gagal memelihara integriti dan maruah, disifatkan sebagai peringatan amat penting kepada seluruh penjawat awam dan anggota beruniform di negara ini.

Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap titah dan teguran berkenaan, sambil menyeru semua pihak yang diamanahkan dengan kuasa agar kembali kepada asas sumpah jawatan yang telah dilafazkan.

Pengerusi PAMM Negeri Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus berkata, teguran Sultan Pahang bukan bersifat umum semata-mata, sebaliknya mencerminkan keresahan rakyat terhadap segelintir individu yang menyalahgunakan kedudukan demi kepentingan peribadi.

Menurut beliau, PAMM menggesa semua penjawat awam dan anggota beruniform agar menjalankan tugas dengan penuh amanah, integriti serta dedikasi, selari dengan tanggungjawab dan sumpah yang telah dijanjikan ketika menerima jawatan.

“Titah dan teguran Sultan Pahang wajar dijadikan cermin oleh semua pihak. Amanah yang dipikul bukan hanya untuk menjalankan tugas harian, tetapi tanggungjawab besar kepada rakyat, negara dan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Beliau berkata, rakyat kini semakin kecewa apabila terdapat pihak beruniform yang diberi kepercayaan tinggi menunjukkan tingkah laku tidak wajar, sekali gus mencemarkan nama baik institusi yang sepatutnya menjadi benteng keadilan dan keselamatan negara.

“Kita melihat ada segelintir yang lupa diri apabila memegang kuasa. Sikap sebegini bukan sahaja merosakkan sistem, malah menghancurkan kepercayaan rakyat yang menjadi asas kestabilan negara,” katanya lagi.

Tambah beliau, apabila integriti terhakis, rakyat akan mula mempersoalkan keadilan, ketelusan dan ketulusan institusi yang sepatutnya melindungi mereka tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.

Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap golongan yang disifatkan sebagai memiliki ‘tangan kotor, hati mati dan jiwa yang hanya mengejar kekayaan diri’, sehingga sanggup menggadaikan prinsip, maruah dan masa depan negara demi kepentingan peribadi.

“Sanggup menggadai negara dan ibu sendiri asalkan perut kenyang. Inilah hakikat yang menakutkan apabila kuasa dipegang tanpa iman dan amanah,” katanya.

Sehubungan itu, PAMM berharap teguran Sultan Pahang menjadi titik tolak kepada pembersihan nilai dan pembaikan sistem, agar setiap individu yang memegang amanah benar-benar sedar bahawa kuasa bukan lesen untuk berbuat sesuka hati, sebaliknya tanggungjawab besar yang akan dipersoalkan di dunia dan akhirat.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.