PUSPEN Karangan berwajah baharu

AADK

KULIM-Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Pembinaan Satu Blok Sekolah serta Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan, Kedah telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail pada semalam.

Majlis itu diadakan bagi membolehkan pengoperasian semula PUSPEN Karangan yang ditutup sementara sejak 1 Disember 2022 membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM17 juta.

PUSPEN Karangan kini mempunyai fasiliti yang terbaik untuk menjalankan Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) kepada klien di bawah umur 18 tahun yang mula diperkenalkan AADK sejak 2015.

Objektif pelaksanaan PAPK adalah untuk memberi peluang kepada klien mengikuti semula sesi pembelajaran dan persekolahan di fasiliti AADK serta menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dengan kebersamaan sokongan akademik melalui konsep in situ. Selain itu, usaha ini juga bertujuan meningkatkan dan meraikan kepelbagaian kepakaran melalui kerjasama pintar dua hala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan memperkenalkan sistem sekolah integritI di AADK melalui kepakaran guru dari KPM.

Pada tahun 2015, seramai 15 klien telah berjaya didaftarkan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun tersebut.

Pun begitu, statistik menunjukkan terdapat pertambahan bilangan calon setiap tahun iaitu seramai 28 calon pada tahun 2016, 34 calon (2017); 38 calon (2018); 40 calon (2019); 34 calon (2020) dan 25 calon pada tahun 2021.

Sejak program PAPK diperkenalkan, pencapaian yang direkodkan menunjukkan peningkatan bagi calon memperoleh sijil kelulusan dalam peperiksaan tersebut.

Pada tahun 2015, dua calon direkodkan layak mendapat sijil SPM manakala 10 pada tahun 2016; 7 klien (2017); 18 klien (2018); 21 klien (2019); 22 klien (2020) dan 20 klien lulus SPM pada tahun 2021.

Dengan adanya kemudahan ini, AADK akan menempatkan semua klien yang sedang mengikuti program PAPK di fasiliti ini bagi yang berada di semenajung Malaysia.

Kemudahan ini mampu menampung kapasiti seramai 100 klien dalam satu masa.

Sehingga kini, seramai 25 klien direkodkan sedang mengikut program PAPK.

Pencapaian yang ditunjukkan oleh klien dalam SPM membolehkan mereka layak menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Klien yang terlibat dengan program PAPK bagi tahap SPM dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar sukarela terdiri daripada pensyarah politeknik dan guru sekolah menengah yang mengajar berhampiran PUSPEN ini.

Program PAPK juga telah diperluaskan dan tidak hanya tertumpu kepada persediaan peperiksaan SPM sahaja.

Usaha ini diperluas kepada pendidikan asas 3M (Membaca,Menulis dan Mengira) memandangkan terdapat klien remaja yang berdepan masalah keciciran pendidikan.

AADK juga akan mengerat kerjasama dengan KPM untuk mendapatkan penempatan dan lantikan guru secara tetap di sekolah ini dan bagi permulaan pengoperasian Sekolah PUSPEN Karangan, AADK akan menguna pakai pegawai dalaman yang mempunyai kelulusan dalam bidang pendidikan.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.