Sudahlah ceroboh, pihak berkuasa terpaksa selamatkan pula PATI selepas bot karam

PATI yang berjaya ditahan

KLANG– Cubaan 77 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tekong untuk menceroboh perairan Pulau Ketam di sini digagalkan menerusi Op Benteng Laut Unit Tindak Khas kelmarin.

Operasi itu disertai Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan Unit Tindakan Khas (UTK) kelmarin.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bertindak atas maklumat, PPM dan UTK melakukan pemantauan di sekitar perairan pada jam 7 petang.

“Pihak PPM dan UTK bertindak memintas serta memberhentikan bot tongkang tersebut bersama pati yang dipercayai warga Indonesia.

“Terdapat tiga lelaki yang telah terjun ke laut yang dan cuba melarikan diri bersama pelampung namun kesemua individu tersebut berjaya ditahan di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 77 PATI berusia setahun hingga 58 tahun.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 54 lelaki dewasa, 18 wanita dewasa dan dua kanak-kanak iaitu lelaki dan wanita.

Dalam pada itu beliau berkata, dua buah bot PPM dan UTK terpaksa diguna bagi menyelamatkan PATI selepas bot tongkang dinaki mereka karam.

Menurutnya, ia berpunca daripada kebocoran di dalam bilik enjin bot tersebut.

Semua yang ditahan di bawa balik ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut di bawah ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1963/59.

Orang ramai yang mempunyai maklumat penyeludupan PATI diminta hubungi Bilik Operasi Ops Benteng di talian 03-3101 3240.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.