Setahun kumpul duit untuk ibadah korban

Para jemaah menghiris dan memotong daging sebelum diagih kepada fakir miskin

KUALA KETIL– Demi memastikan tanggungjawab melaksanakan ibadah korban dapat dijayakan, jemaah Surau Al Barakah Kampung Tembak B di sini mengumpul wang sejak Ogos tahun lalu.

Setiausaha Surau Al Barakah, Ilyas Salleh berkata, setiap bulan jemaah terlibat menyumbang kepada tabung surau sebanyak RM70 atau lebih.

Menurutnya, majoriti penduduk di kawasan itu hanya bergantung kepada sumber pendapatan menoreh getah.

“Untuk ibadah korban tahun 2020, jemaah telah mengumpul duit sejak tahun lepas. Begitu juga untuk tahun depan, kami akan mula mengumpul duit pada tahun ini,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Ilyas berkata, pada tahun ini, ibadah korban dilaksanakan selepas solat Aidiladha, tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.

“Alhamdulillah, daging korban dapat diagih kepada seramai 130 orang fakir miskin di sekitar Kampung Tembak B,”katanya.

Katanya, tradisi mengumpul duit setahun sebelum Aidiladha di surau tersebut telah dibuat sejak empat tahun lalu.

Ilyas memastikan setiap jemaah yang hadir bagi pelaksanaan ibadah korban mematuhi SOP

“Idea ini dicetuskan Pengerusi Surau iaitu Ustaz Zelani Nik Chik.

“Usaha ini memberikan peluang kepada penduduk untuk melaksanakan ibadah korban pada setiap tahun,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.