Selalu jadi mangsa banjir kilat

Roslan kanan menunjukkan paras air banjir yang terbaru

KUPANG – Lima beranak di Kampung Bukit Hijau sering menjadi mangsa banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Ketua keluarga Roslan Md Zain, 40, berkata, bulan ini sahaja sudah empat kali rumahnya dilanda banjir kilat.

Beliau tinggal bersama isteri dan tiga anak berusia 3, 9 dan 12 tahun.

“Kejadian terbaru pada 12 September lalu mengakibatkan banyak barangan tidak dapat diselamatkan dengan kos kerugian dianggarkan RM5,000.

“Paras banjir yang keempat ini makin tinggi berbanding sebelumnya. Almari, peti sejuk dan barang barang lain banyak rosak,” katanya yang telah membuat laporan polis.

Dakwanya, banjir kilat itu berpunca daripada kegiatan pembalakan di Bukit Hijau beberapa tahun lalu.

“Kesannya boleh dilihat sekarang, sungai jadi cetek dan sempit. Bila hujan lebat membuatkan aliran air cepat melimpah hingga ke rumah kami,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang, Hassan Saad berkata, pihaknya telah menyampaikan bantuan awal berupa bekalan makanan dan toto kepada keluarga berkenaan.

“Kita juga akan membantu keluarga itu menyelesaikan masalah banjir kilat,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.